KUALA TERENGGANU ~ Seorang ibu tunggal hanya mampu menangis teresak-esak di
kandang mahkamah apabila diminta membuat rayuan sebelum hukuman penjara sehari
dan denda RM1,000 dijatuhkan selepas mengaku bersalah mencuri coklat milik
Pasaraya Giant, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Selain itu, Noor Shila Mamat, 28, dari Jalan Kamaruddin, Kampung
Banggol, di sini, turut berdepan hukuman penjara selama sebulan lagi sekiranya
gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Kesemua keputusan itu dibuat selepas Noor Shila mengaku bersalah
telah mencuri lima keping coklat Cadbury Cashewnut 175 gram; lima keping coklat
Cadbury Almond 175 gram; lima keping coklat Cadbury Mired Nuts 175gram dan lima
keping coklat Cadbury Dairy Milk H/Nut Praline 175 gram.
Dia mengaku bersalah mencuri coklat yang bernilai keseluruhan
RM150 bersama dengan seorang lagi yang telah dituduh di Pasaraya Giant, Jalan
Sultan Mohamad, di sini, pada 6 Febuari 2010 di antara jam lebih kurang 5.35
petang hingga 5.45 petang.
Dengan itu, Noor Shila mengaku bersalah melakukan kesalahan di
bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang
memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda, jika disabitkan
kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di
hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala Noor Shila tidak diwakili
peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 6
petang, seorang pengawal keselamatan bertugas yang sedang melakukan rondaan
telah menerima maklumat daripada salah seorang pekerja memaklumkan terdapat
seorang wanita berbaju hijau dan bertudung kuning bersama seorang lelaki telah
memasukkan barang ke dalam beg tanpa membuat pembayaran terlebih dahulu.
Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, pengawal keselamatan
itu dengan ditemani salah seorang rakan sejawat terus ke lokasi dimaklumkan
sebelum mendapati wanita dimaksudkan telah melalui kaunter tanpa membuat
sebarang pembayaran.
Wanita itu ditahan di luar kawasan kaunter pembayaran dan hasil
pemeriksaan berjaya menjumpai kesemua jenis coklat yang dicuri, sebelum
diserahkan kepada polis.
SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment