Tanjong Karang - Tindakan pantas seorang kanak-kanak mengunci pintu bilik
bersama dua adiknya sebaik sahaja mendengar tingkap dapur dipecahkan berjaya
menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa samun di Taman Nilam, pagi semalam.
Walaupun baru berusia 10 tahun, namun Norsyahmina Nuri bijak
membawa dua adiknya yang masih kecil ke dalam bilik sebelum menghubungi ibunya
yang ketika itu sedang bekerja di sebuah klinik di Bestari Jaya.
“Masa itu, ayah keluar sekejap sebab nak pergi hospital dan
sempat berpesan kepada kami supaya tidak keluar rumah atau membuka pintu jika
ada orang tak dikenali datang.
“Jadi saya dengan adik-adik pun tengok cerita kartun kat
televisyen sebelum terkejut bila dengar bunyi bising dan orang cakap-cakap kat
belakang dapur. Masa tu saya takut sangat sampai nak menangis tetapi
cepat-cepat bawa adik masuk dalam bilik dan kunci.
“Sebelum masuk bilik, saya dengar bunyi suara lelaki lebih dari
satu... ada suara orang Indonesia, India dan Melayu... suara mereka bercakap kuat
macam nak pecahkan tingkap sebab nak masuk.
“Dalam bilik, saya cepat-cepat telefon ibu dan suruhnya balik
sebab bunyi kuat kat dapur menakutkan kami,” katanya yang masih trauma dengan
kejadian itu ditemani ibunya, Rosmah Ismail, 40.
Menurut Rosmah, ketika dia menerima panggilan kecemasan daripada
anak sulungnya itu hatinya tak keruan dan hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu
perasaan ketika itu.
“Kalau boleh sepantas kilat saya mahu sampai ke rumah sebab
bimbangkan keselamatan anak-anak. Tak jangka musibah seperti ini akan berlaku
namun kawan-kawan nasihat tenangkan hati.
“Alhamdulillah sebaik sahaja sampai di rumah anak-anak selamat,”
katanya yang masih belum mengetahui jumlah kerugian dan membuat laporan polis
di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor.
Tinjauan Sinar Harian di bahagian belakang rumah terbabit
mendapati rumah mangsa hanya dipisahkan dengan tembok batu antara kebun kelapa
sawit yang memudahkan suspek melarikan diri. Difahamkan, rumah bersebelahan
mangsa turut di pecah masuk melalui tingkap dapur pada masa sama.
Meskipun sedar ada anak-anak kecil di dalam rumah itu, suspek
dipercayai tetap masuk dan mencari barangan berharga bagaimanapun sempat
melarikan diri tidak lama selepas itu setelah menyedari kehadiran polis dan
orang ramai.
SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment