Thursday, 12 December 2013

DALAM NEGARA: Kemudahan internet wi-fi Universiti Malaya (UM) akan dipertingkatkan

PUTRAJAYA: Lokasi perkhidmatan WiFi di Universiti Malaya (UM) akan diperluaskan bagi membolehkan mahasiswa menikmati akses internet yang lebih mudah dan pantas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bagi memenuhi harapan mahasiswa, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pengurusan tertinggi universiti itu dalam masa terdekat.

Katanya, akses internet kini dianggap antara keperluan penting kepada mahasiswa dalam mendalami ilmu dan pengetahuan mereka.

"Dulu saya Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UM 1981-1982. Kami perjuangkan harga teh tarik, makanan dan kos fotokopi yang rendah. Tetapi hari ini saya faham, akses internet adalah penting untuk para pelajar.

"Jadi saya memberi komitmen untuk membantu mahasiswa untuk tujuan ini," katanya selepas menerima petisyen daripada Penggerak Mahasiswa UM, di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia (TM) akan  turut diperoleh bagi tujuan itu.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap ICT, saya amat teruja untuk membantu mereka (Penggerak Mahasiswa), dengan kerjasama SKMM dan TM," katanya.

Pengerusi pergerakan itu, Mohd Faridzuan Karim berkata akses internet di kebanyakan lokasi di universiti itu agak perlahan.

"Kami mahukan kemudahan WiFi sedia ada di kawasan tumpuan ditambahkan  bagi memastikan setiap mahasiswa UM dapat menikmati akses internet yang lebih baik bersesuaian dengan jumlah yuran yang dibayar," katanya.

Menurutnya, selain menambah 'hotspot' yang sedia ada di semua kolej kediaman, pusat akademik dan fakulti, pengurusan UM juga perlu menambah kapasiti jalur lebar di setiap kolej kediaman terutamanya pada waktu puncak iaitu antara 9 malam dan 2 pagi.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...