Gerik - Pemilik sebuah pasar raya di
sini yang menjual pakaian terpaksa menanggung kerugian apabila tiga premisnya
terbakar pada kira-kira jam 4.25 petang, kelmarin.
Dalam kebakaran tersebut, hampir keseluruhan kedai dan barang
jualan dalam premis tersebut musnah dan tidak sempat diselamatkan.
Penolong Ketua Balai Bomba Gerik, Mior Muhammad Mohd Tahir
berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pada jam 4.25
petang.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, 12 anggota dari Balai
Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan
kebakaran.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan
anggota kami cuba membuat persempadanan api bagi memastikan ia tidak merebak ke
kawasan lain.
“Api berjaya dikawal daripada memusnahkan bangunan kedai lain
setengah jam kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Mior berkata, operasi memadamkan kebakaran
melibatkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Lenggong dan
Pengkalan Hulu dengan kekuatan 22 anggota.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak kami. Walaupun
kebakaran ini melibatkan tiga kedai, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,"
katanya.
Beliau berkata, operasi memadam kebakaran dan menyelamat tamat
kira-kira jam 7.30 malam.
SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment