Perempuan memang logik apabila berkias ataupun menyimpan
kehendak hati di depan lelaki terutamanya mereka yang masih belum punya ikatan.
Peribadinya lebih tersembunyi dan perlu ada ruang ke belakang sedikit
berbanding lelaki yang lebih ‘sempoi’.
Kalau perempuan lebih-lebih, nanti ada pula tanggapan tak tahu
malu atau jenis perempuan tak jaga gaya. Perlu ‘jual mahal’ dan kena ada ego di
sebalik kelembutan. Itulah realitinya perempuan.
Namun ada ketikanya masalah timbul apabila perempuan terlalu
berdiam atau menyembunyikan kehendaknya dan lelaki pula jenis yang ambil mudah
dan tidak pandai ‘membaca’ bahasa tubuh seseorang perempuan itu. Memang parah
kerana lama-kelamaan, simpan dalam dan makan setiap inci dalaman hingga
akhirnya meletus! Itu lebih menakutkan.
Kebiasaannya, pasangan kekasih umpamanya, si lelaki akan
terlebih awal memberikan amaran kepada teman wanitanya.
Katanya, lelaki memang jenis berterus terang. Jika wanita
berkias, dia kurang memahami dan sebaliknya membiarkannya saja.
Lelaki tidak suka wanita terlalu berkias sehingga mengusutkan
hati dan fikirannya. Terus terangkan lebih menyenangkan kerja. Apabila lelaki
membisu bukanlah bermakna dia tidak langsung memikirkan hal itu, sebaliknya dia
enggan memanjangkan atau mengeruhkan sesuatu situasi buruk.
Itu selalu berlaku ketika perselisihan faham yang mana lelaki
kebiasaannya lebih gemar mendiamkan diri daripada bersuara kerana bimbang ia
akan merumitkan lagi keadaan. Kadang-kadang bahasa yang digunakan lelaki kasar
dan boleh membuatkan wanita terguris.
Cara hidup lelaki lebih mudah berbanding wanita. Oleh sebab itu,
lelaki sukar untuk memahami apabila sesuatu perkara itu disampaikan dalam
bentuk bahasa kiasan oleh wanita.
Bagi lelaki, golongan wanita berkebolehan untuk membicarakan
sesuatu subjek yang sensitif dan sedih sebagai salah satu cara berhadapan
dengan realiti. Tetapi lelaki pula lebih suka untuk menyembunyikannya dan
membisu.
Itu adalah amaran yang selalunya diberikan lelaki pada awal
perkenalan kerana mereka sering kali menjadi mangsa salah komunikasi dengan
wanita yang akhirnya hingga terpaksa memutuskan hubungan.
Perempuan kalau berkias menyembunyi sesuatu, mereka ingin lelaki
memahaminya. Lelaki pula tak semuanya ‘tahan’ untuk melayan perangai perempuan
yang tidak pernah berterus terang, jadi akhirnya dia akan membiarkannya saja.
Kemudian, perempuan akan memendam rasa dan timbul perasaan
benci, marah dan geram. Apabila lelaki memujuk sehari kemudian, perasaan itu
lebih parah dan ketika itu katanya sudah terlewat.
Ego tersembunyi
Itulah peratusan terbesar yang membuatkan pasangan muda
selalunya memutuskan hubungan. Salah komunikasi dan kononnya tidak memahami
antara satu sama lain sedangkan puncanya ada kalanya terlalu remeh. Tapi pernah
tak golongan lelaki terfikir mengapa perempuan lebih gemar berkias?
Di sebalik kelembutan seseorang wanita itu terselit juga
keegoannya yang jarang ditonjolkan. Biasanya wanita jarang berterus terang
mengenai apa dia mahukan meskipun amat mengharapkan lelaki memahaminya. Mereka
sering kali berkias-kias.
Pertamanya, mereka inginkan perhatian. Wanita inginkan perhatian
dan kasih sayang terutamanya daripada orang yang rapat dengannya. Apabila
melihat orang di sekelilingnya sibuk dengan aktiviti sendiri, dia akan bersuara
untuk membuat permintaan dengan cara cakap berlapik.
Contohnya mereka akan mengatakan: “Bosanlah asyik tengok siaran
TV yang sama”. Ataupun “Selalunya hujung minggu pergi mana?” Tapi ayat tersirat
ingin dikatakannya adalah: “Alangkah bagus kalau awak ajak saya keluar tengok
wayang atau makan angin.”
Wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tapi
cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya.
Keduanya, mereka sebenarnya tidak pernah puas. Walaupun ramai
mengatakan lelaki memiliki sifat tidak pernah puas, wanita juga tidak
terkecuali kerana rata-rata wanita yang lebih sukar untuk puas dalam apa juga
aspek.
Sebagai contoh, apabila mendapat sesuatu perkara diidamkan, dia
akan berkias-kias dengan pasangannya mahukan sesuatu yang baru. Contohnya:
“Saya lihat trend sekarang ramai suka iPad 2 berbanding laptop. Apa pendapat
awak?”
Dia berkias kerana tidak mahu dimarahi atau si pasangannya
mengeluh pula kalau terus meminta apa yang diinginkan. Tapi sebenarnya dalam
hatinya dia ingin pasangannya membelikannya iPad 2!
Bahasa jiwa
Ketiganya, mereka berkias kerana sekadar ingin menguji. Wanita
memang suka menguji dan diuji. Dia lebih selesa menggunakan orang terdekat
dengannya untuk dijadikan modal dan alasan bagi menilai sejauh mana kasih
sayang yang diberikan kepadanya.
“Alangkah bagusnya kalau saya jadi macam wanita itu, layanan
diberikan bagai puteri,” kata kebiasaan yang terpacul daripada mulut teman
wanita. Jauh dalam hatinya, dia hanya inginkan layanan sama seperti wanita yang
dipuji. Tapi bukan semua wanita bersikap begitu, cuma jika diberi peluang, apa
salahnya.
Keempatnya, mereka berkias kerana bimbang dimarahi. Lepas dapat
satu, ada lagi kemahuan belum dipenuhi membuat dia berasa tidak selesa.
Tambahan pula wanita lebih mementingkan kesempurnaan.
Kalau boleh dia inginkan sesuatu yang lain daripada lain,
biarpun dia tahu risiko akan dimarahi. Oleh sebab bimbang dengan keadaan
begitu, dia akan sedaya upaya berkias dan berharap pasangannya dapat memahami
‘bahasa jiwanya’.
Itulah alasan perempuan berkias dan mengapa kekasih anda ada
kalanya berdiam diri menunjukkan rasa marah. Kalau ditanya, jawapan klise:
“Saya OK, tak ada apa-apa.”
Sebenarnya lelaki pun janganlah terlalu pentingkan diri atau
tidak sensitif kepada keinginan mereka. Bukannya susah untuk menunjukkan rasa
sayang lebih daripada biasa ataupun menghargai mereka lebih kerap lagi.
Bukankah ia akan memberikan lebih keserasian dan menambah rasa
cinta antara kamu. Cubalah faham sikit bro
SUMBER: http://www.hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment