Kuala Lumpur - Seorang pengawal keselamatan melarikan wang tunai berjumlah
RM250,000 dari van yang dipandunya semasa dua lagi rakannya sedang memindahkan
sejumlah wang ke Maybank di Wisma Consplant, Subang Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kejadian
berlaku kira-kira 9 pagi ketika suspek yang dikenali sebagai Mohd Fahamy
Mohammad Ramly, 30, yang sedang menunggu rakan-rakannya melakukan tugas mereka,
tiba-tiba melarikan van yang berisi wang tersebut."Mereka ditugaskan untuk
mengambil wang hasil jualan hujung minggu di beberapa premis perniagaan di
sekitar Shah Alam dan di dua buah stesen minyak di Kesas (Lebuhraya Shah Alam)
bagi tujuan mendeposit wang tersebut ke dalam bank.
"Wang berkenaan merupakan milik dua buah stesen minyak dan
sebuah restoran makanan segera yang ditinggalkan dalam van itu sebelum
dideposit ke dalam Maybank di dalam bangunan wisma tersebut," katanya
kepada Bernama.
Yahaya berkata dua rakan pengawal tersebut yang kembali setelah
menghantar wang ke bank itu mendapati suspek bersama van itu tidak lagi
kelihatan di situ.
Mereka kemudiannya menghubungi rakan mereka dengan alat
walkie-talkie tetapi gagal, lalu kedua-duanya membuat laporan polis.
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan suspek tidak mempunyai
senjata dan baru sahaja berkhidmat di syarikat keselamatan itu pada 1 Okt
lepas.
Syarikat tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2005 menawarkan
khidmat penghantaran wang kutipan jualan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank
pelanggan, katanya.
Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun
Keseksaan kerana mencuri.
SUMBER: BERNAMA
No comments:
Post a Comment