Rompin - Keasyikan dua beradik yang mencari botol di tepi Pantai Bernas, tengah hari semalam terganggu apabila mereka menemui mayat seorang wanita separuh bogel terdampar berhampiran Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin, di sini.
Lina Besar, 21, berkata, ketika kejadian, dia sedang mengutip botol plastik di tepi pantai bersama kakaknya, Zakiah Besar, 24, sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita yang pada mulanya disangka patung.
“Ketika kami sedang bersiar sambil mengutip botol plastik di tepi pantai, tiba-tiba saya ternampak satu objek terdampar di tepi pantai.
“Saya menggigil ketakutan apabila mendapati objek yang disangka patung itu adalah jasad seorang wanita dalam keadaan separuh bogel,” katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Batu 3, dekat sini.
Sejurus itu katanya, dia segera memaklumkan perkara tersebut kepada penduduk kampung berhampiran.
“Kami trauma kerana ini pengalaman pertama lihat mayat terdampar di pantai dalam keadaan sedemikian rupa, mungkin selepas ini kami tidak berani lagi untuk bersiar di tepi pantai kerana masih terbayangkan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya mengesahkan menerima laporan penemuan mayat berkenaan daripada penduduk kampung.
Menurutnya, mayat wanita dalam keadaan tertiarap itu ditemui orang awam kira-kira jam 12.15 tengah hari.
“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti bagaimanapun usianya dalam lingkungan 40-an dan dipercayai warga asing.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Johari berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada mangsa mati akibat lemas atau ada kaitan dengan unsur jenayah.
“Sehubungan itu, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dalam terdekat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin di talian 094145222.
SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment