Kuantan: Usianya baru lima tahun, namun berat badan seorang budak lelaki
meningkat mendadak hingga mencecah 57 kilogram dipercayai akibat nafsu makan
yang kuat menyebabkan kedua ibu bapanya bimbangkan keadaan kesihatannya.
Akibat berat badan berlebihan, Mohammad Danish Asyraaf Mohd
Darus menghadapi masalah pernafasan hingga menjejaskan kecergasannya serta
terpaksa tidur dalam keadaan duduk.
Berat badan Mohammad Danish Asyraaf melebihi berat bapanya, Mohd
Darus Ismail yang hanya 53 kilogram dan lebih separuh daripada berat ibunya,
Normah Ahmad yang mempunyai berat 80 kilogram.
Normah, 36, berkata, berat badan anak kedua daripada tiga
beradik itu pada tahun lalu cuma 15 kilogram, namun meningkat mendadak mencecah
57 kilogram.
Menurutnya, anaknya itu dilahirkan normal dengan berat 3.2 kilogram, tetapi disahkan menghadapi masalah pernafasan sejak lahir.
“Kami tidak tahu kenapa selera makannya berubah hingga berat
badannya meningkat mendadak dan dia tidak dapat mengawal pemakanannya walaupun
doktor menasihatkan kami berbuat demikian.
“Dia akan menangis dan memberontak jika kami menegahnya daripada
makan terlalu banyak membuatkan kami buntu dan terpaksa mengikut kehendaknya,”
katanya yang tinggal di Sungai Karang di sini.
Katanya, Mohammad Danish Asyraaf yang pemalu mudah memberontak
selain tidak aktif bergerak kerana masalah kesihatan dihidapinya selain turut
dijangkiti cacar air sejak setahun lalu.
“Pada masa ini, kami tidak dapat mengawal pemakanannya kerana
dia belum boleh berfikir baik atau buruk, tetapi mungkin berbuat demikian
apabila usianya semakin meningkat kerana sudah boleh memahami sendiri.
“Kami tidak memberinya sebarang ubat-ubatan untuk mengawal
tabiat pemakanannya kerana bimbangkan kesan sampingan yang mungkin lebih
memudaratkan kesihatannya nanti,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua Badan Kebajikan Kemanusiaan dan
Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (BAKKISS) Wan Azlan Wan
Salleh mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kerusi malas kepada
kanak-kanak itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Norhizan Ismail
berkata, kes kanak-kanak seperti Mohammad Danish Asyraaf jarang berlaku dan
menyarankan kanak-kanak itu dirujuk kepada doktor untuk rawatan sewajarnya.
“Paling penting kanak-kanak itu perlu dirujuk doktor untuk
mengenal pasti punca sebenar keadaannya sama ada disebabkan masalah diet atau
faktor kesihatan lain sebelum rawatan seterusnya dilakukan,” katanya.
SUMBER: http://www.hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment