Friday, 20 December 2013

DALAM NEGARA: Sindiket pemerdagangan manusia


Subang Jaya – Sindiket pemerdagangan manusia kini dipercayai mensasarkan pelajar perempuan memiliki rupa paras yang cantik sebagai mangsa dengan merekrut pelajar lelaki di sekolah sebagai ejen mereka.

Sindiket haram terbabit dikatakan akan membayar upah kepada ejen untuk mengenal pasti mana-mana pelajar perempuan yang berwajah menawan di sekolah masing-masing.

Sindiket itu akan memberi tunjuk ajar kepada ejen termasuk mengarahkan mereka menjadikan pelajar perempuan yang disasarkan sebagai teman wanita sebelum diperdaya.

Ketika hangat bercinta, teman lelaki yang merupakan ejen sindiket akan membawa pasangannya ke suatu tempat dan menyerahkan mangsa kepada sindiket dipercayai untuk dijual di luar negara.

Perkara itu dibongkarkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor (Mapmas), Dr Irene Fernandez selepas perasmian Program Advokasi Anti Pemerdagangan Manusia negeri Selangor peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Beliau berkata, perlu ada kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pihak sekolah untuk mengelakkan pelajar terus menjadi mangsa terutama apabila sering dilaporkan kes kanak-kanak hilang namun ada yang masih gagal ditemui dan tidak diketahui di mana mereka berada.

“Apa yang kita maklum banyak kes kanak-kanak hilang, mereka kemudian dipercayai dijual. Ada juga yang dipotong kaki dan tangan untuk dijadikan pengemis di negara-negara tertentu oleh sindiket ini,” katanya.

Irene berkata, pihaknya pernah menyelamatkan seorang pelajar di Sepang yang cuba di seludup dalam satu kontena untuk dihantar ke sebuah negara.

Jelasnya, pelajar terbabit bernasib baik kerana dapat melarikan diri.

Menyedari peningkatan jenayah kedua terbesar selepas pengedaran dadah, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) menubuhkan Mapmas sebagai satu langkah membanteras aktiviti terbabit.

Satu sindiket pemerdagangan manusia dikatakan  mampu mengaut keuntungan hampir RM45 juta setahun hasil kegiatan haram perhambaan moden yang dilakukan.

Kegiatan haram itu katanya bukan sahaja membabitkan warga asing tetapi warga tempatan di negara ini.

Antara tahun 2011 hingga 2012, sebanyak 815 kes dilaporkan di negeri Selangor, paling banyak diterima kes pemerdagangan tenaga kerja.

Warga tempatan kebanyakan dari syarikat keselamatan membuat aduan mereka dikerah bekerja lebih masa dan tidak dibayar gaji lebih setahun.

Sementara itu Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, di peringkat PBT, pihaknya mengadakan program untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung isu pemerdagangan manusia.

“Majlis tiada kuasa menguatkuasakan akta di bawah kementerian tetapi kita boleh memberi pemahaman kepada masyarakat,” katanya.



SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...