Sunday, 22 December 2013

INFO: Dr Fatimah Zaharah Rosli, Hafaz 30 juzuk sebelum konvo


KEBANYAKAN kita biasa dengan persepsi bahawa menuntut dalam bidang perubatan untuk bergelar doktor adalah sesuatu yang sukar. Selain itu, kita golongan 'orang biasa-biasa' ini sering berasakan, untuk menghafaz 30 juzuk sebuah al-Quran adalah sesuatu yang agak payah apatah lagi bukan berlatarbelakangkan pendidikan di sekolah tahfiz.

Bagaimanapun kedua-dua 'sangkaan' yang menghalang minda untuk menuju kejayaan itu berjaya diharungi oleh Dr Fatimah Zaharah Rosli, 29.

Doktor muda itu yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Tampin, Negeri Sembilan, membuktikan belajar di bidang perubatan dan dalam masa sama menghafaz sebuah al-Quran bukanlah sesuatu yang mustahil.

Bertemu Syeikhah jadi titik tolak

Menceritakan kembali 'sejarahnya' yang tekad untuk menjadi hafizah, Dr Fatimah berkata, ia bermula hanya ketika mula mengenali seorang wanita tempatan di Mesir dikenali sebagai Syeikhah Effat yang merupakan ibu kepada guru kelas bahasa Arabnya.

Ketika itu, beliau dalam tahun pertama di universiti di negara padang pasir itu. Menurutnya, perkenalan tersebut merupakan titik tolak dalam hidupnya yang membuatkannya tekad untuk menghafal al-Quran sebelum menamatkan ijazah.

"Syeikhah Effat menceritakan pengalamannya yang mula menghafal al-Quran pada usia 40 tahun, manakala ibunya pada usia 60 tahun. Dalam kelas beliau juga ada yang terdiri daripada pelajar Arab dan Malaysia.

"Beliau adakan kuiz-kuiz untuk menguji kecerdasan minda, dan alhamdulillah, selalunya saya antara yang boleh jawab dengan pantas. Melihat minat saya dan kefahaman saya dalam bidang ini, Beliau terus memotivasikan saya untuk menghafaz dan mengkhatamkan 10 qiraat.

"Terus terang saya katakan, sekiranya beliau tidak memberikan sokongan penuh dan mengikuti perkembangan hafazan saya, kemungkinan saya tak mampu nak lakukan," katanya yang bercita-cita menjadi doktor sejak kecil.

Menurutnya, biarpun bersekolah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu (1997-2001), namun ketika itu tidak secara serius mahu menghafaz al-Quran, tetapi mula menghafal surah-surah pilihan seperti surah As-Sajdah dan al-Waqiah dengan inisiatif sendiri, selain motivasi ustaz dan ustazah di sekolah.

Rasa lebih cergas, cerdas

Dr Fatimah memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran.

Pada masa yang sama beliau turut mendapat tawaran biasiswa Bank Negara untuk menyambung pelajaran dalam bidang ekonomi di United Kingdom, namun ditolak atas dasar lebih meminati bidang perubatan dan ingin mendalami ilmu-ilmu lain yang boleh didapati di tanah Arab seperti bahasa Arab dan al-Quran.

"Tiada istilah tidak cukup masa atau sukar, malahan sejak mula mendalami al-Quran, saya rasa lebih cergas dan cerdas. Pembelajaran di universiti dapat saya serap dengan lebih mudah dan saya juga cergas dalam melakukan aktiviti persatuan dan kemasyarakatan.

"Antara hobi saya di sana ialah menziarahi adik-adik junior untuk memberikan tunjuk ajar seberapa banyak yang boleh. Saya juga sering mengajar mereka al-Quran dan tajwid selain mata pelajaran medikal.

"Bagi saya berkongsi ilmu merupakan cara terbaik untuk kita menguasai ilmu tersebut. Selain itu, saya juga mengajar tuisyen kepada anak pegawai diplomat di sana," katanya.

Semasa belajar di Mesir, Dr Fatimah mendapat Mumtaz untuk 3 tahun berturut-turut (3,4,5).

Menurutnya, beliau turut merasakan peningkatan kepada keputusan peperiksaan setelah mula mendalami ilmu al-Quran secara lebih serius.

Mengagumkan, beliau mendapat Jayyid Jiddan pada tahun-tahun lain, dan Jayyid Jiddan secara keseluruhan, dalam masa sama beliau menghafal 30 juzuk al-Quran bermula pada cuti musim panas tahun 2003 sehingga 2006.

Beliau turut mempelajari ilmu qiraat yang merupakan cara pembacaan al-Quran berbeza-beza.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengkhatamkan 10 qiraat asshatibiyyah dengan syeikh di Mesir. Mendalami ilmu bahasa Arab dan berjaya menghabiskan pengajian 12 peringkat di institusi bahasa Arab," katanya.

Mahu jadi pakar jantung

Pernah menjadi Timbalan Presiden Perubatan di Mesir dan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Mesir dan sekarang masih aktif sebagai aktivis Isma di Malaysia, serta menjadi AJK Biro Luar Negara, Dr Fatimah bersyukur diberi peluang belajar di Mesir.

"Saya berasakan saya dapat 'the best of both worlds'. Saya dapat belajar untuk dunia dan akhirat saya. Di Mesir juga saya belajar erti dan nikmat bersaudara. Sokongan daripada rakan-rakan serumah yang seperti adik-beradik sendiri juga berikan kekuatan untuk saya berjaya. Kami saling membantu di musim peperiksaan dan dalam pelajaran al-Quran.

"Hidup dengan rakan-rakan yang sentiasa mengingatkan saya tentang dosa dan pahala serta syurga dan neraka memberikan ketenangan yang luar biasa," katanya.

Sesuatu boleh menjadi ikutan pembaca, Dr Fatimah percaya setiap orang boleh melakukan apa yang diingini asalkan menanam cita-cita dari awal dan sentiasa bergantung harap kepada ALLAH, walaupun pada mulanya ia mungkin kelihatan agak mustahil.

"Saya bercita-cita untuk menjadi pakar jantung terulung di Malaysia. Insya-Allah saya akan berusaha ke arahnya sehingga berjaya. Doa dan tawakal seiring dengan usaha yang merupakan tangga kejayaan," katanya.

Terapkan Konsep Cinta Allah, Rasul

Sejak kecil pendidikan agama dititikberatkan oleh kedua ibu bapa wanita cemerlang ini dengan menyusun kelas mengaji untuk memastikan mereka semua lima beradik khatam al-Quran. Menurutnya, sewaktu beliau di Mesir, ibunya akan menghantar adik-beradik yang lain ke Mesir di waktu cuti semester untuk pengajian bahasa Arab dan al-Quran.

"Ibu bapa sering menjadikan anak-anak kenalan yang hafiz atau hafizah sebagai role model dengan memuji mereka, dan sering menyatakan hasrat agar salah seorang daripada anak menjadi hafizah.

Ibu kepada Ezzat Salman, 3, dan ‘Abdurrahman Salman, 2 bulan, ini dalam pada itu sempat menasihati ibu bapa dalam membesarkan anak.

Dalam mendidik anak, kesabaran amat penting terutama dalam menghadapi kerenah mereka dalam usia yang muda.

"Sangat penting menerapkan konsep akidah dan cinta kepada ALLAH dan rasul kepada anak-anak. Walaupun ramai ibu bapa sangat mementingkan pencapaian kognitif seperti tahu membaca, mengira, menulis dan sebagainya, namun, yang lebih penting ialah menanamkan nilai-nilai murni dan agama dalam diri anak-anak sejak usia muda.

"Ini semua saya belajar melalui pergaulan dengan senior-senior di Mesir yang sudah berkeluarga. mereka banyak menunjukkan contoh baik dalam mendidik anak masing-masing," katanya.


MENARIK MENGENAI DR FATIMAH ZAHARAH ROSLI: 

Penglibatan NGO : ISMA (2004-sekarang), I-Medik (sejak penubuhan sehingga sekarang), Mercy Malaysia (sekitar tahun 2002)

Suami : Salman Al-Farisi Selamat, asal Shah Alam. Hafiz 30 juzuk al-Quran, ijazah dalam bidang syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir. Sekarang merupakan KPO (Ketua Pegawai Operasi) di ISMA HQ.

Nama bapa: Dr Rosli Yaakop, asal Rembau, Negeri Sembilan, PhD dalam bidang ekonomi. Banyak menerbitkan artikel tentang situasi ekonomi masa kini. Bapanya sering membaca al-Quran di rumah setiap pagi dan menghafal surah-surah pilihan.

Nama ibu : Anumma Mohd Bawanater, asal Pulau Pinang. Pesara Bank Negara. Ibunya juga membaca al-Quran setiap pagi dan sering menekankan kecemerlangan anak-anak melalui nasihat dan motivasi.

Antara pencapaian: 9A PMR, 10A1 SPM, Pelajar Mithali Anugerah Cemerlang 2000, Tokoh Pelajar PMR 1999, Penolong Ketua Umum, Pendebat Bahas Inggeris - Naib Johan Piala Perdana Menteri 1999, Johan 2000, Speaker terbaik semi-final 2000, Mewakili Negeri Sembilan ke Program Kepimpinan Tun Razak yang dianjurkan oleh Yayasan Tun Razak

Meminati bidang perubatan sejak kecil. Sambil menunggu keputusan SPM, mengisi masa lapang dengan melakukan kerja-kerja sukarelawan di MERCY Malaysia yang ketika itu sangat aktif menghantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan.



SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...