Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

Tuesday, 25 February 2014

SAN FRANCISCO: Telur tiruan daripada tumbuhan

San Francisco : Sejenis telur tiruan diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan bakal menembusi pasaran global selepas firma Amerika Syarikat (AS) yang dibiayai lelaki terkaya di Asia mendedahkan perkara itu.

Ia bakal menggantikan telur dalam semua termasuk pembuatan kek hingga mayonis tanpa memerlukan seekor ayam untuk menghasilkan pengeluarannya.

Produk keluaran Hampton Creek itu sudah dijual di Whole Foods di California dan kini firma yang dibiayai oleh lelaki terkaya Asia, Li Ka-shing serta pengasas bersama Yahoo, Jerry Yang, merancang untuk menembusi pasaran dunia.

Perjanjian dengan 500 syarikat

Malah syarikat terbabit dikatakan sudah menandatangani perjanjian kerjasama dengan 500 syarikat termasuk pengeluar dan peruncit makanan terbesar dunia.

“Teknologi membolehkan semua untuk mendapat lebih banyak pilihan untuk masa depan bersama yang lebih baik,” katanya.

“Untuk memenuhi semua permintaan penduduk dunia yang semakin bertambah, kita perlu lebih efisyen, lebih mesra alam sekitar dan lebih berkualiti serta banyak pilihan.

Ketua pegawai eksekutif, Hampton Creek dan pengasas, Josh Tetrick berkata, kita hidup ketika pilihan tidak sihat adalah murah dan mudah, manakala pilihan sihat adalah mahal dan sukar.

“Sasaran kami sentiasa untuk membina sebuah syarikat yang menghasilkan makanan sihat dan mudah didapati kepada sesiapa saja.

“Menyelesaikan masalah itu bermakna menyelesaikan masalah kebanyakan orang ramai bukan hanya mereka yang mampu untuk membayar AS$5.99 bagi telur organik,” katanya.

Idea Tetrick adalah untuk mencari campuran tumbuh-tumbuhan yang senang tumbuh, apabila dicampur bersama dengan betul, meniru rasa, nilai khasiat dan kegunaan memasak bagi sebiji telur. HM

Thursday, 30 January 2014

INFO: Almaty, tempat kelahiran epal


ALMATY – KAZAKHSTAN : Almaty, pusat kewangan Kazakhstan dikatakan mendapat nama daripada pokok epal yang pada satu ketika tumbuh dengan banyaknya mengelilingi bandar ini. Menurut pemandu pelancong, Alexander Yezhor, 67, Almaty bermaksud epal dalam bahasa Kazakh.

"Sebelum ini Almaty dipanggil Alma-Ata yang bermaksud bapa epal," katanya dengan merujuk kepada malus sieversii liar (epal) yang tumbuh di rantau ini dan dikatakan 'moyang' kepada kebanyakan epal yang ditanam di seluruh dunia hari ini.

Di samping buah epal, Yezhor turut berkata, bandar Almaty hari ini adalah juga 'buah hati' pelancong kerana keindahan persekitaran semulajadi serta seni bina moden yang gah.


TARIKAN ALMATY

Terletak di kaki gunung banjaran Tien Shan range, Almaty kini adalah sebuah bandar yang terkenal dengan seni bina moden. Jalan raya di bandar ini dibina begitu teratur dengan barisan pohon serta pokok bunga yang mencantikkan lagi pemandangan sekitar.

Keindahan bandar diserikan lagi dengan pancuran air, taman-taman yang menarik dan pemandangan gunung-ganang yang hebat.

Sebahagian besar penduduk Kazakhstan tinggal di bandar ini dan ia juga adalah pusat kewangan, komersial dan pelancong negara ini. Almaty pernah menjadi ibu negara Kazakhstan sebelum Presiden Nursultan Nazarbayev menjadikan Astana sebagai ibu negara pada 1997.

Bagaimanapun, Almaty kekal menjadi pusat kewangan bukan sahaja untuk Kazakhstan tetapi juga Asia Tengah.


MESTI DIKUNJUNGI

Menurut Pengarah Jualan Seluruh Dunia, Air Astana, Richard Ledger, wajah kemodenan Almata yang juga dikenali sebagai "ibu negara selatan" bertambah cantik dengan banjaran gunung-ganang, tasik dan lembah.

Kesemuanya ini menjadikan Almaty sebuah tempat yang amat menarik untuk dikunjungi.

"Ramai rakyat Malaysia datang ke Almaty kerana banyak yang boleh dibuat di sini. Almaty yang terletak di kawasan pergunungan sesuai untuk aktiviti seperti meluncur ais dan menunggang kuda," katanya.

Air Astana, syarikat penerbangan negara Kazakhstan, mula melakukan penerbangan kerap pada 15 Mei 2002. Pada masa ini ia mengendalikan hampir 60 penerbangan antarabangsa dan domestik dari Almaty, Astana dan Atyrau.


MAKANAN KAZAKHSTAN

Mereka yang datang ke Kazakhstan pastinya tidak akan kecewa dengan makanan yang terdapat di negara ini. Antara restoran yang terkenal ialah Augustin yang memaparkan tradisi terbaik Eropah lama dan Del Papa, restoran dengan citarasa Itali.

Tidak lengkap jika tidak mencuba hidangan sosej daging kuda jika berkunjung ke Kazakhstan serta 'Kumys', susu kuda betina yang dimasamkan di mana ia mengandungi juga kandungan alkohol dan dihidangkan pada musim bunga dan panas.


PELANCONG MUSLIM

Memandangkan 70 peratus penduduk Kazakhstan adalah orang Islam, tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal di negara ini. Siswazah universiti, Samat Kassymbayev, 24, yang beragama Islam berkata beliau dan keluarganya tidak mempunyai masalah untuk membeli daging halal serta produk halal lain di negara ini.

"Enam puluh peratus daripada produk yang dijual di pasar adalah halal dan terdapat banyak restoran yang menghidangkan makanan halal di sini," katanya.

Beliau menambah meskipun terdapat banyak kumpulan etnik di Kazakhstan, semuanya peramah dan mesra antara satu sama lain.

"Ia sama seperti di Malaysia. Rakyat di sana begitu baik," katanya sambil berkata beliau pernah ke Malaysia mengikuti program pertukaran pelajar Universiti Putra Malaysia. - Bernama

Tuesday, 28 January 2014

INFO: Manusia boleh "menghidu" penyakit

 

STOCKHOLM : Seorang saintis Sweden mendakwa, manusia mampu untuk 'menghidu' sistem imunisasi seseorang yang sedang jatuh sakit.

Menurut penyelidik dari Institut Karolinska, Profesor Mats Olsson, perkara itu berlaku sekiranya sistem imunisasi seseorang individu terlalu aktif dalam tempoh beberapa jam selepas mereka terdedah kepada bakteria.

Malah katanya, terdapat bukti saintifik dan kisah yang mengandaikan pelbagai jenis penyakit mempunyai bau tertentu.

Sebagai contoh, skrofula, satu jangkitan pada nodus limfa dikatakan mempunyai bau seperti bir yang tidak berbuih, manakala seseorang yang mengalami kencing manis, mereka kadangkala bernafas dan mengeluarkan bau 'aseton'.

"Dalam kajian terbaharu ini, kami mengkaji keupayaan manusia untuk mengesan penyakit dengan menghidu.

"Kemampuan untuk mengesan bau-bau ini akan mewakili penyesuaian kritikal yang membolehkan kita untuk mengelak kemungkinan penyakit-penyakit berbahaya,'' katanya yang mengetuai kajian itu.



Dalam kajian itu, Profesor Olsson dan pasukannya meminta seramai lapan responden yang sihat untuk datang ke makmal dan mereka diberikan suntikan dalam bentuk lipopolysaccharide (LPS), sejenis toksin yang diperbuat daripada bakteria dan diketahui dapat meningkatkan tindak balas sistem imunisasi.

Responden kemudiannya memakai baju-T ketat bagi menyerap peluh mereka dalam tempoh empat jam dengan satu kumpulan berasingan terdiri daripada sukarelawan seramai 40 orang kemudiannya diminta menghidu bau peluh itu.

Secara keseluruhannya, mereka menilai responden dari kumpulan LPS itu mempunyai bau yang kurang menyenangkan berbanding mereka yang memakai baju-T lain. - AGENSI

Mesej menyedihkan terakhir oleh insan bergelar ayah


Seorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Login facebook. Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian ‘OTHER’ di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.

Ditatap isinya,

“Salam.

Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.

Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.

Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?

Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, ‘Abah, abah, abah’. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.

Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.

Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.

Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?

Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.

Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.

Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.

Abah tak minta banyak…

Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.

Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini.

Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.

Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.

Maafkan abah atas segalanya.”

Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya. Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya. - FB

Sunday, 26 January 2014

TIPS: Arang hilangkan bau badan

Pengunjung yang datang akan melalui sesi membersihkan kaki terlebih dahulu.

RAMAI yang tidak menyedari mereka mempunyai masalah bau badan yang kurang menyenangkan. Walaupun telah menggunakan deodoran dan minyak wangi, ia tidak bertahan lama. Rakan sekerja atau teman rapat pula kadang-kadang tidak mahu memberitahu kerana tidak mahu mengecilkan hati.

Masalah bau badan ini boleh diatasi dengan melakukan rawatan-rawatan tertentu.

Menyedari masalah bau badan yang dialami oleh sesetengah golongan ini, Spa Telaga Bunga telah menyediakan rawatan arang yang dapat membantu mengatasi masalah tersebut.

Rawatan yang berkonsepkan kontemporari Melayu dengan gabungan rawatan India dan sentuhan Indonesia ini, bukan sahaja dapat menghilangkan bau badan tetapi juga bagi merawat belakang badan yang berjerawat, bagi menarik toksin keluar dari badan dan bagus untuk mereka yang sudah lama tidak melakukan skrub badan.

Menurut konsultan spa Telaga Bunga, Ayu Mudiasih, bahan-bahan yang digunakan dalam rawatan arang ini ialah rempah-rempah dan herba yang kesemuanya adalah buatan tempatan.

Di antaranya ialah arang kelapa sawit, tepung soya dan tepung beras. Tepung soya mengandungi vitamin C, tepung beras pula bagi menegangkan kulit dan arang bagi menyerap minyak yang berlebihan.

Campuran arang kelapa sawit, tepung soya dan tepung beras dilumur pada bahagian belakang tubuh.


Campuran arang kelapa sawit, tepung soya dan tepung beras dilumur pada bahagian belakang tubuh.

"Rawatan ini masih baru di Malaysia dan ramai yang masih belum tahu mengenainya. Di Amerika Syarikat dan Jepun, rawatan ini popular sebagai pupur muka bagi mengatasi masalah jerawat.

"Pelanggan yang mengambil pakej akan dibersihkan kaki terlebih dahulu dan kemudian bahagian belakang dan hadapan badan disapu rata menggunakan bahan campuran arang.

"Setelah itu badan akan dibungkus selama 30 minit bagi mengaktifkan arang menarik keluar toksin dan bau yang terperap di dalam badan. Sementara menunggu tempoh 30 minit itu, ahli terapi akan melakukan urutan di kepala.

"Selesai rawatan tersebut, pelanggan akan dimandikan dalam air bunga. Setelah badan dikeringkan, badan pelanggan akan diurut lagi selama satu jam. Keseluruhan rawatan ini mengambil masa selama dua jam," kata Ayu Mudiasih yang ditemui di Spa Telaga Bunga baru-baru ini.

Tambah beliau, pelanggan akan dapat merasai kulit mereka menjadi lembut, tegang dan halus kerana sel kulit mati telah dapat dibuang.

Sebaik-baiknya, ujar beliau, lakukan rawatan ini dua kali sebulan, sementara bagi mereka yang lebih bermasalah, lakukan seminggu sekali.

Daripada segi pemakanan pula, kata Ayu, banyakkan makan ulam-ulaman dan buah-buahan serta kurangkan makan daging merah dan makanan berminyak.

Bayaran pakej bagi rawatan arang ini ialah RM360++ namun harga promosi ialah RM199++. utusan

Thursday, 23 January 2014

TIPS: Doa bayi songsang


Amalkan doa ini untuk ibu-ibu yang mengandung. Juga boleh dibaca oleh orang lain sambil memegang perut ibu mengandung dengan niat untuk membetulkan kedudukan bayi yang songsang.


Insya-Allah, kedudukan bayi akan berubah dengan kepalanya ke bawah dengan izin Allah.

INFO: Tangan dipotong kerana beri sedekah


DIKISAHKAN bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana ALLAH S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya.

Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.

Semenjak dari peristiwa itu maka ALLAH S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah.

Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.

Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut.

Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya.

Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut.

Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.

Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.

Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.



Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barang siapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang siapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan ALLAH S.W.T.

Dan barang siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barang siapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka ALLAH S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."


Dipetik daripada blog Detik Islam.com

INFO: Telan ‘belon’ tangani masalah kegemukan

pesakit menelan kapsul (gambar) yang mengandungi belon kempis yang melekat pada tiub

London : Pesakit mengalami obesiti yang terdesak untuk mengurangkan berat badan kini boleh menelan belon di dalam pil menerusi kaedah perubatan terbaru bagi menangani masalah kegemukan.

Tidak seperti rawatan belon gastrik, Obalon tidak memerlukan pembedahan invasif. Sebaliknya, prosedur 10 minit itu hanya memerlukan pesakit menelan kapsul bersaiz sebesar pil vitamin yang mengandungi belon kempis.

Kapsul itu dilekat kepada kateter mikro dan sebaik saja kapsul itu hadam di dalam perut, belon itu akan mengembang menjadi sebesar saiz sebiji epal. Kapsul itu akan larut dan katerer akan dikeluarkan dari mulut.

Belon itu akan berada di bahagian atas perut, menyebabkan pesakit rasa kenyang dengan harapan pesakit akan mengurangkan makan dan seterusnya berat badan akan berkurangan. Pesakit akan menerima belon kedua 30 hari selepas prosedur pertama dengan pilihan belon ketiga selepas kira-kira 60 hari, berdasarkan penurunan berat badan mereka dan kekenyangan yang dialami.
 
Belon sebesar saiz sebiji epal dan duduk di bahagian atas perut untuk memberi pesakit rasa kenyang


Ia perlu dikeluarkan selepas beberapa bulan atau lebih dari 90 hari tetapi ia bertujuan sebagai harapan untuk membantu orang ramai membuat perubahan gaya hidup untuk menjaga berat badan

Ujian klinikal di UK dan di Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa pesakit secara purata, kehilangan 1st 3lbs (7.7 kg)  dalam masa 12 minggu - dan belon itu bertujuan untuk orang yang mempunyai BMI 27 dan ke atas - tidak dianggap cukup gemuk untuk pembedahan penurunan berat badan

Seorang pesakit, Helene Fleckney, 43, dari Shenley di Hertfordshire, berkata: 'Sejarah penyakit jantung dan kencing manis wujud dalam keluarga saya, jadi saya tahu saya terpaksa mengambil tindakan terhadap berat badan saya untuk mengurangkan risiko kecenderungan mendapat penyakit, dan juga meningkatkan keyakinan saya.

Revolusi: sistem baru membolehkan belon gastrik yang 
akan mengembang dalam perut pesakit tanpa pembedahan

Pada akhir rawatan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan, belon itu akan mengecut dan dibuang melalui rawatan endoskopi. Obalon berharga £2,995 (RM16,469) untuk dua rawatan belon. Ia boleh didapati di beberapa hospital dan klinik di sekitar London.
hmetro dailymail

Wednesday, 22 January 2014

INFO: Khasiat herba dukung anak


Rupa bentuknya seakan rumpai menyebabkan ramai yang tidak ambil kisah tumbuhan herba ini, apatah lagi mudah diperoleh.

Namun, dukung anak adalah tumbuhan herba yang berguna dalam dunia perubatan khususnya merawat penyakit berkaitan buah pinggang dan hati seperti jaundis dan hepatitis.

Ia juga digunakan untuk merawat penyakit batu karang, malaria, asma, kencing manis, gigitan berbisa dan cirit birit.

Herba itu digunakan masyarakat di Afrika untuk memecahkan batu karang.

Kelebihan herba dukung anak ini mendorong penyelidik MARDI untuk melakukan kajian secara mendalam.


Kajian Timbalan Pe­ngarah Pusat Penyelidikan Bioteknologi, Dr Indu Bala Jaganath bermula pada 2009.

Dr Indu berkata, pemilihan dukung anak berikutan penggunaannya mengubati penyakit hepatitis.

“Kalau digunakan untuk hepatitis bermakna herba ini mengandungi anti virus,” katanya.

Menurutnya, bahagian pertama dalam penyelidikan itu ialah bagi mendapatkan formulasi herba untuk penyakit denggi.

“Saya bekerjasama dengan pensyarah Universiti Malaya (UM) Dr Sharmala yang juga pakar denggi,” katanya.

Katanya, hasil penyelidikan ke atas tikus mendapati dukung anak memiliki ciri anti kolesterol yang baik.

Katanya, ramai keliru dengan empat spesies dukung anak sedangkan setiap satunya mempunyai khasiat berbeza.

“Jika dilihat ia sama tetapi memang berbeza,” katanya.

Menurutnya, empat jenis herba itu dikenal pasti dengan melakukan piawaian untuk proses penanaman semula.

Proses seterusnya adalah untuk melakukan piawaian tanaman sebelum disusuli aktiviti peng­ekstrakan.

“Ia bagi melihat profail kimia dan jenis bahan aktif yang terdapat dalam setiap spesies.

“Kita juga mahu melihat daripada keempat-empat spesies itu yang manakah mempunyai kompaun bioaktif paling baik,” katanya.

Katanya, spesies Phyllanthus watsonii adalah yang terbaik dikalangan tiga dukung anak yang lain.

“Kami sudah melakukan ujian makmal dan mendapati kompaun bioaktifnya (Phyllanthus watsonii) sangat bermanfaat untuk kesihatan,” katanya.

Dr Indu juga melakukan penyelidikan untuk mengenalpasti aktiviti anti kolesterol.

“Ujian terhadap tikus yang mempunyai paras kolesterol tinggi me­ndapati apabila diberi ekstrak herba, paras kolestrol turun selepas beberapa minggu,” katanya.

Malah katanya, penggunaan bahan seperti lipidol boleh meningkatkan paras enzim, selain memberikan kesan negatif kepada kesihatan.

Katanya, beberapa syarikat sudah menunjukkan minat mendapatkan teknologi itu, antaranya Furley Bioextract.

“Furley Bioextract menghasilkan beberapa produk minuman berfungsi, penyembur tekak (throat spray), nutraseutikal dan biskut fiber.

“Semua produk ini mengurangkan dan mengelak risiko kolesterol dan agen anti-viral,” katanya. merto

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...