Friday 31 January 2014

JOKES: I Missed You


JOKES: How to stop a friend from crying


LONGYEARBYEN: Doomsday Vault - 'Kubah Kiamat' Di Kutub Utara



LONGYEARBYEN : MENGAPA disebut sebagai Kubah Kiamat atau 'Doomsday Vault'?. "Doomsday" berfungsi sebagai penyelamat manusia bertujuan memelihara tanaman dalam menghadapi perubahan iklim, perang dan bencana alam.

Yang Svalbard Global Seed Vault dimaksudkan sebagai sokongan kepada rangkaian bank benih di seluruh dunia yang menyimpan, membesar dan menambah beribu-ribu jenis tanaman. Ia dibina di dalam sebuah gunung beku di Kepulauan Svalbard, Norwey, 1100 kilometer dari kutub utara .

Selepas dirasmikan, kubah yang berada di dalam perut gunung sedalam 127.5 meter ini akan menyimpan cadangan benih dari ratusan bank benih dari seluruh dunia. Bilik di dalamnya boleh memuatkan 4.5 juta sampel benih. Bilik kebal itu terdiri dari satu perempat daripada satu juta sampel - berjumlah kira-kira 10 juta biji benih - dari hampir setiap negara di dunia akan dibawa jauh ke dalam gunung di Svalbard, di utara tanah besar Norway.



Harapannya, jika terjadi bencana besar yang melanda dunia, biji - bijian yang disimpan di kubah itu akan dapat menjadi sumber penyelamat manusia sebelum terjadi kelaparan.



Dalam kenyataan Perdana Menteri Norwey, Jens Stoltenberg menyebut bahawa Svalbard Global Seed Vault merupakan kebijaksanaan sistem penyelamatan kami. "Ini adalah 'Bahtera Nuh' untuk melindungi kepelbagaian biologi generasi masa depan, "ujar Jens Stoltenberg dalam upacara perasmian kubah itu.

Acara yang monumental tersebut juga dihadiri oleh Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manual Barroso, dan penerima Nobel Perdamaian 2004, Wangari Maathai, dari Kenya.


Kubah yang dibangunkan memakan kos US $ 9.1 juta - hasil kerja sama Global Crop Diversity Trust, institusi yang dibiayai badan PBB untuk urusan pangan atau FAO (Food and Agriculture Organization) dan Biodiversity Antarabangsa yang berpusat di Roma, Italy - diharapkan benar - benar boleh jadi penyelesaian masa depan demi kelangsungan kehidupan manusia.

 

Menteri Pembangunan Antarabangsa Gareth Thomas berkata bilik kebal penyimpanan benih boleh membantu memastikan bahawa kepelbagaian genetik tanaman makanan utama dunia tidak hilang.

"Kira-kira 2.5 bilion orang di negara-negara membangun bergantung kepada pertanian untuk menampung kehidupan mereka tetapi cabaran seperti perubahan iklim bermakna bahawa pelbagai jenis tanaman baru perlu dibangunkan.


"Melalui sokongan di UK untuk Tanaman Global Kepelbagaian Amanah, bilik kebal benih akan membantu untuk mencapai keselamatan makanan bagi golongan miskin di negara-negara membangun," katanya.

PONTIAN: 20 tahun terpinggir

Ahmad (kiri) dan adiknya, Labu di rumah mereka di Kampung Parit Wak Talibek. Gambar kecil: Keadaan air parit yang kotor dan berkelodak menjadi sumber bekalan air Ahmad dan Labu.

PONTIAN : Dua beradik warga emas dari Kampung Parit Wak Talibek tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik sejak kira-kira 20 tahun lalu, selain tinggal di rumah yang usang.

Ahmad Marai, 67, dan adiknya Labu, 64, turut menjadikan air parit dan berwarna hitam di hadapan rumah sebagai sumber air untuk tujuan memasak serta mandi.

Tinjauan Sinar Harian ke rumah terbabit, semalam, mendapati keadaan di dalam rumah berkenaan tak terurus selain bumbung rumah kediaman hampir roboh akibat dihempap dahan kayu.

Ahmad berkata, dia pernah berkahwin, namun tidak bertahan lama, sementara adiknya Labu tidak pernah mendirikan rumah tangga.

“Kami bersyukur masih mempunyai rumah untuk berteduh dari panas dan hujan selain dapat bercucuk tanam.

"Kami gembira kerana diberikan kesihatan tubuh badan malah masih mampu mengayuh basikal sejauh kira-kira satu kilometer ke kedai untuk membeli barang keperluan,” katanya.

Katanya, dia pernah didatangi beberapa orang tidak dikenali menjenguk kawasan rumahnya.

“Ramai tidak sangka kami masih tinggal di sini, tetapi kami gembira menerima kehadiran mereka,” katanya.

Dia berharap agar rumah terbabit dapat dibaiki untuk keselesaan hidup mereka berdua.

“Cukuplah diberikan kayu dan zink baharu, sudah memadai untuk kami adik beradik membaiki rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (9) Mukim Benut, Abdul Rahman @ Pungut Selamat berkata, kediaman pasangan adik beradik itu merupakan rumah bantuan di bawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) yang dibina sekitar tahun 90an.

“Masalah yang dihadapi kedua beradik ini sudah saya ketahui dan bantuan yang diminta iaitu kayu dan zink akan diusahakan,” katanya. - sinarharian

BEIJING: Kitar 9 juta botol plastik untuk biayai pengajian anak-anak



Beijing : Sepasang suami isteri sanggup mengitar semula botol plastik sejak 10 tahun lalu semata-mata mahu memastikan dua anak lelaki mereka mendapat pendidikan sempurna sehingga peringkat universiti.

Zhu dan isterinya Liu menganggarkan mengitar semula hampir sembilan juta botol plastik dan lebih 20 tan bahan plastik sejak 10 tahun yang lalu.



“Kami sanggup melakukan apa saja demi pendidikan anak kami. Mr Zhu, berasal dari wilayah Jiangxi tetapi kini tinggal di bandar Hengyang, Hunan, memberitahu 21CN.

“Malah kejayaan mereka juga akan menguntungkan negara ini supaya menjadi individu yang berpendidikan tinggi dan dihormati,” katanya.



Setiap hari, bagi memastikan botol dikutip boleh dikitar semula, Liu membuka label setiap satu menggunakan tangannya sebelum diasingkan mengikut warna.

Hasilnya, anak sulung mereka kini mempunyai PhD dan bakal menyambung pengajiannya di Jerman.



Zhu berkata, pada 2006 anak bongsunya yang berada di Hunan Normal University College of Commerce untuk tahun ketiga pengajiannya tiba-tiba mahu berhenti belajar dan memulakan perniagaan.

“Saya risau dengan keputusannya dan memujuknya menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.

“Duit boleh dicari kemudian,” katanya. - Agensi



RIYADH: Tolak RM2.6 juta demi sahabat


Riyadh : Seorang pekerja warga Mesir di sini menolak tawaran SR3 juta (RM2.6 juta) untuk membeli nombor pendaftaran kenderaaannya dengan alasan dia tidak mahu memutuskan hubungan dengan keretanya.

Hisham Bili yang mempunyai berpendapatan sebanyak SR4,000 (RM3,500) berkata, dia menerima kereta lama itu daripada seorang rakan warga Saudi dan nilai kereta itu kini hanya kira-kira SR12,000 (RM10,600).

“Saya menerima kereta ini sebagai hadiah 16 tahun lalu. Saya tidak mahu menjualnya dan nombor pendaftarannya walaupun tawarannya mencecah SR3 juta kerana saya tidak mahu menjejaskan hubungan persahabatan kami,” katanya, dipetik akhbar tempatan Al Arabiya. 

“Saya menerima pelbagai tawaran. Kini saya tidak lagi memandunya, sebaliknya menaiki teksi kerana mahu mengelak daripada orang ramai yang meminta saya menjualnya,” kata Hisham. - AFP

UNIK: Kait pakaian guna rambut


Beijing : Seorang pesara guru yang tinggal di Chongqing menghabiskan 11 tahun mengait baju sejuk dan topi yang diperbuat daripada rambutnya sendiri.

Ia sebahagian daripada usaha menyimpan kenangan zaman mudanya.

Menurut laporan media tempatan, wanita bernama Xiang, 60, itu mengumpul kira-kira 110,000 helai rambutnya yang gugur sejak berusia 34 tahun sebelum mengait baju sejuk seberat 382 gram.

XIANG memakai baju sejuk dan topi yang dikait menggunakan rambutnya.


Dia turut mengait sehelai topi seberat 119 gram untuk suaminya.

Xiang telah mengumpulkan rambutnya apabila ia gugur sejak usia 34 tahun.

Xiang berkata, dia menyimpan semua rambutnya yang melekat di sikat setiap hari dan mula menggunakan rambut itu untuk mengait pada 2003.

baju sejuk dan topi.


Setiap helai rambut yang dikaitnya sepanjang 70 hingga 80 sentimeter, manakala 15 helai rambut digunakan untuk membuat satu gumpalan benang bulu.

“Kaedah ini tidak sukar dilakukan. Rahsianya ialah kesabaran dan kesungguhan,” katanya.

Xiang juga ingin mengambil bahagian dalam rancangan “China’s Got Talent” bagi mempamerkan hasil baju sejuk yang siap dikaitnya.- Agensi

Thursday 30 January 2014

INFO: Almaty, tempat kelahiran epal


ALMATY – KAZAKHSTAN : Almaty, pusat kewangan Kazakhstan dikatakan mendapat nama daripada pokok epal yang pada satu ketika tumbuh dengan banyaknya mengelilingi bandar ini. Menurut pemandu pelancong, Alexander Yezhor, 67, Almaty bermaksud epal dalam bahasa Kazakh.

"Sebelum ini Almaty dipanggil Alma-Ata yang bermaksud bapa epal," katanya dengan merujuk kepada malus sieversii liar (epal) yang tumbuh di rantau ini dan dikatakan 'moyang' kepada kebanyakan epal yang ditanam di seluruh dunia hari ini.

Di samping buah epal, Yezhor turut berkata, bandar Almaty hari ini adalah juga 'buah hati' pelancong kerana keindahan persekitaran semulajadi serta seni bina moden yang gah.


TARIKAN ALMATY

Terletak di kaki gunung banjaran Tien Shan range, Almaty kini adalah sebuah bandar yang terkenal dengan seni bina moden. Jalan raya di bandar ini dibina begitu teratur dengan barisan pohon serta pokok bunga yang mencantikkan lagi pemandangan sekitar.

Keindahan bandar diserikan lagi dengan pancuran air, taman-taman yang menarik dan pemandangan gunung-ganang yang hebat.

Sebahagian besar penduduk Kazakhstan tinggal di bandar ini dan ia juga adalah pusat kewangan, komersial dan pelancong negara ini. Almaty pernah menjadi ibu negara Kazakhstan sebelum Presiden Nursultan Nazarbayev menjadikan Astana sebagai ibu negara pada 1997.

Bagaimanapun, Almaty kekal menjadi pusat kewangan bukan sahaja untuk Kazakhstan tetapi juga Asia Tengah.


MESTI DIKUNJUNGI

Menurut Pengarah Jualan Seluruh Dunia, Air Astana, Richard Ledger, wajah kemodenan Almata yang juga dikenali sebagai "ibu negara selatan" bertambah cantik dengan banjaran gunung-ganang, tasik dan lembah.

Kesemuanya ini menjadikan Almaty sebuah tempat yang amat menarik untuk dikunjungi.

"Ramai rakyat Malaysia datang ke Almaty kerana banyak yang boleh dibuat di sini. Almaty yang terletak di kawasan pergunungan sesuai untuk aktiviti seperti meluncur ais dan menunggang kuda," katanya.

Air Astana, syarikat penerbangan negara Kazakhstan, mula melakukan penerbangan kerap pada 15 Mei 2002. Pada masa ini ia mengendalikan hampir 60 penerbangan antarabangsa dan domestik dari Almaty, Astana dan Atyrau.


MAKANAN KAZAKHSTAN

Mereka yang datang ke Kazakhstan pastinya tidak akan kecewa dengan makanan yang terdapat di negara ini. Antara restoran yang terkenal ialah Augustin yang memaparkan tradisi terbaik Eropah lama dan Del Papa, restoran dengan citarasa Itali.

Tidak lengkap jika tidak mencuba hidangan sosej daging kuda jika berkunjung ke Kazakhstan serta 'Kumys', susu kuda betina yang dimasamkan di mana ia mengandungi juga kandungan alkohol dan dihidangkan pada musim bunga dan panas.


PELANCONG MUSLIM

Memandangkan 70 peratus penduduk Kazakhstan adalah orang Islam, tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal di negara ini. Siswazah universiti, Samat Kassymbayev, 24, yang beragama Islam berkata beliau dan keluarganya tidak mempunyai masalah untuk membeli daging halal serta produk halal lain di negara ini.

"Enam puluh peratus daripada produk yang dijual di pasar adalah halal dan terdapat banyak restoran yang menghidangkan makanan halal di sini," katanya.

Beliau menambah meskipun terdapat banyak kumpulan etnik di Kazakhstan, semuanya peramah dan mesra antara satu sama lain.

"Ia sama seperti di Malaysia. Rakyat di sana begitu baik," katanya sambil berkata beliau pernah ke Malaysia mengikuti program pertukaran pelajar Universiti Putra Malaysia. - Bernama

HIBURAN: Min Ho, Shin Hye bercinta?


LAPORAN media di China bahawa pasangan kekasih di dalam drama The Heirs, Lee Min Ho dan Park Shin Hye bercinta mengejutkan peminat pelakon itu.

Biarpun tanpa bukti kukuh, beberapa laporan media China melaporkan kedua-dua pelakon yang berasal dari Korea Selatan itu mula menjalinkan hubungan serius selepas dua bulan tamat penggambaran drama tersebut.

Biarpun tiada sebarang kenyataan daripada kedua-dua pelakon tersebut, namun kedua-dua agensi pelakon itu menafikan perkara ini.

Wakil agensi Min Ho berkata : "Kami tidak tahu mengapa berita seperti ini muncul di China. Kini kami akan mengambil langkah untuk meredakan suasana yang ada melalui agensi kami di China," ujarnya.

Manakala wakil agensi Shin Hye melalui kenyataan kepada sebuah akhbar berkata: "Khabar angin ini bertebaran mungkin kerana The Heirs meraih populariti yang tinggi di China.

Namun hakikatnya mereka hanya bercinta di dalam drama tersebut," jelasnya. SinarHarian

KUALA TERENGGANU: 20 pembantu guru BI dari AS bertugas di Terengganu


KUALA TERENGGANU : Seramai 20 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat tiba di sini untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga dan Empat di negeri ini.
  
Guru ETA ini merupakan kumpulan kesembilan yang menyertai program tahunan itu yang bertujuan meningkatkan pertukaran Malaysia dan Amerika dalam bidang pendidikan.
   
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu Ghazali Taib berkata kumpulan itu akan ditempatkan di tujuh daerah di negeri ini sehingga Oktober ini.
   
"Kami harap guru-guru ini juga akan memberi sumbangan dengan menganjurkan kelab dan aktiviti luar kurikulum berkaitan bahasa Inggeris," katanya pada majlis penyerahan di sini hari ini.
   
Program ETA Fulbright ini dikendalikan bersama oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (Macee) dan Kementerian Pendidikan.
   
Penyelaras Macee, Julia Berryman berkata 100 siswazah muda universiti Amerika Syarikat akan menyertai program ini dan sesetengah daripada mereka dihantar berkhidmat di negeri terpilih selama 10 bulan mulai Februari.
   
Emily Elizabeth Rivard, 23, dari Massachusetts, yang akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman, berkata beliau mengambil bahagian sebagai sukarelawan ETA kerana ingin mempelajari budaya tempatan.   

"Saya sungguh teruja untuk datang ke sini dan kemesraan masyarakat di sini membuat saya berasa lebih santai serta diterima baik. Saya tidak sabar untuk bertemu para pelajar," katanya. - Bernama

BANGI: Budak perempuan 7 tahun mati dikelar bapa


BANGI : Seorang lelaki mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi di sini, petang tadi.
   
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berkenaan mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari.
   
"Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
    
Beliau berkata seorang lagi anak perempuannya yang berumur 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dapat menyelamatkan diri daripada bapa mereka, yang bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian itu.
   
Menurutnya anak perempuannya berusia 15 tahun itu, yang baru pulang dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan memegang sebilah parang di dalam rumah.

"Budak perempuan itu melihat ada kesan darah di ruang tamu dan mendapati adik-adiknya cedera. Dia terus menjerit dan memanggil abangnya yang berada di tingkat atas.
   
"Abangnya meluru keluar dari bilik dan melihat keadaan di tingkat bawah lalu meminta adiknya itu segera berlari ke tingkat atas dan bersembunyi di dalam bilik sebelum dia menghubungi polis," katanya.
   
Abd Rahim berkata ketika tiba, polis mendapati dua anaknya yang cedera berada di ruang tamu dan segera membawa mereka ke Hospital Kajang dekat sini untuk rawatan.
   
Beliau berkata polis menjumpai mayat budak perempuan, yang dikelar di leher, di bilik tingkat bawah rumah itu.
   
Susulan kejadian itu, polis mencari lelaki berusia 44 tahun itu dan menemuinya di tebing sungai di belakang kawasan perumahan itu kira-kira 6 petang.
   
"Suspek dijumpai dalam keadaan murung, basah dan cedera di kepalanya. Polis percaya suspek telah terjun ke dalam sungai tetapi naik ke tebing kemudian," katanya.
   
Abd Rahim berkata polis turut merampas sebilah parang daripada suspek itu.

Suspek yang menganggur sejak dua tahun lepas, tidak mempunyai rekod jenayah dan mungkin mengalami masalah mental. - Bernama 

REMBAU: Panik nampak kereta meluru laju di belakang


REMBAU : “Saya memang tidak sedap hati apabila lihat cermin belakang, nampak sebuah kereta dipandu laju menghampiri kereta saya," kata, Fazly Azam, 28, ketika menceritakan detik cemas sewaktu ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 32 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Saga.

Menurut Fazly, ketika kejadian dia dalam perjalanan ingin menghantar neneknya, Timah Atum, 76, dari Kuala Lumpur ke Rumah Rakyat Astana Raja.

"Tiba-tiba, kenderaan saya naiki dirempuh dengan kuat dan saya serta nenek hanya sempat menjerit 'Allahuakbar' sebelum kenderaan kami berpusing-pusing atas jalan raya." katanya.

Fazly berkata, sejak 10 tahun mendapat lesen memandu, ini kali pertama dia terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, Proton Saga berkenaan dipercayai mengekori terlalu rapat Perodua Alza lalu merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan yang berhenti untuk masuk ke persimpangan kanan. SinarHarian

MUAR: Kanak-kanak dirogol, liwat dan ditoreh kemaluan

LOKASI seorang murid berusia 10 tahun dalam perjalanan ke sekolah yang diculik sebelum dirogol serta dicederakan di Bukit Batu dekat Bakri, Muar, Johor, semalam.

MUAR : Malang buat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam oleh seorang lelaki yang bukan sahaja merogol malah meliwat mangsa dan dipaksa melakukan seks oral di Bakri di sini semalam.

Tidak cukup dengan itu, mangsa yang enggan mengikut kemahuannya dipukul dan kemaluannya ditoreh suspek dengan senjata tajam sehingga mengakibatkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menerima 18 jahitan.

Lebih menyedihkan kejadian tersebut berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menaiki basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke sebuah sekolah agama di Bakri di sini, melalui kebun getah, pukul 3 petang.

Semasa dalam perjalanan, mangsa ditahan suspek berusia 37 tahun, kira-kira 250 meter dari Jalan Mahmud di sini, sebelum dipaksa menaiki kereta lalu melarikannya.

Insiden itu disedari seorang pekebun yang hanya sempat mencatat nombor pendaftaran kereta tersebut dan bertindak menghubungi polis.

Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa ke sebuah tempat pembuangan sampah lalu dirogol, diliwat dan dipaksa melakukan seks oral di dalam kereta.

"Mangsa turut dicederakan suspek apabila enggan menurut kemahuan lelaki itu," katanya ketika ditemui di Bukit Bakri, sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke sebuah stesen minyak di Bukit Bakri dan sepasukan polis yang mendapat maklumat berhubung nombor pendaftaran kereta tersebut bertindak menahannya kira-kira pukul 5 petang.

Ujarnya, mangsa diselamatkan dalam keadaan baju sekolahnya berlumuran darah, ketakutan dan tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan menerima 18 jahitan di bahagian kemaluan.

Melalui siasatan awal katanya, suspek mengaku mengambil dadah sebelum melakukan perbuatan tersebut dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati jarak antara rumah kanak-kanak malang itu dengan sekolah agama terbabit kira-kira dua kilometer yang perlu melalui kawasan belukar, kebun sawit dan kebun getah.

Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, mangsa menggunakan jalan tersebut setiap hari kerana merupakan jalan pintas dengan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.

Katanya, jalan tersebut sunyi tetapi penduduk tidak mempunyai pilihan lain kerana merupakan jalan paling dekat. Utusan Malaysia

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...