Friday 24 January 2014

PATNA: Bapa Saman Anak Kerana Kahwin Wanita Kasta Rendah


Patna : Seorang lelaki di timur India menyaman anak lelakinya yang didakwa mencemarkan reputasi dan status sosialnya selepas berkahwin dengan wanita kasta lebih rendah di timur India.

Sidhnath Sharma menuntut ganti rugi sebanyak 100 juta rupee daripada anaknya Sushant Jasu kerana melanggar tradisi keluarga dan berkahwin dengan seorang wanita kasta lebih rendah. Beliau tidak membenarkan anaknya itu menggunakan nama keluarga mereka lagi. Perbicaraan akan diadakan di mahkamah negeri Bihar hari ini.

Anak Sharma telah dinamakan Ramnath Sharma, yang berkait rapat dengan kasta keluarga dan kedudukan sosial yang tinggi seperti Brahmin. Setelah berkahwin, Ramnath mengambil nama Sushant Jasu, tetapi masih menggunakan nama keluarga untuk pengisian borang, menurut bapanya.

Sharma, peguam dari kasta atasan Bhumihar, berkata, perkahwinan anak lelakinya tahun lalu itu memecahkan tradisi 400 tahun kasta terbabit.

“Selama bertahun-tahun perkahwinan yang diatur dalam kalangan sesama kasta sudah menjadi tradisi. “Tetapi apabila anak lelaki sendiri mengakhiri tradisi itu, ia bukan saja mengejutkan saya, malah status sosial kasta kami. Ia tidak boleh dimaafkan dan tidak akan dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anaknya, seorang pegawai cukai yang bekerja di negeri Gujarat barat India, berkahwin dengan isterinya, seorang pegawai bank dari Danapur, November lalu.

Isterinya datang dari kasta Kurmi, kasta pertanian yang rendah, menurut Encik Sharma. "Saya tidak pernah melihat gadis itu, dan saya tidak mahu melihatnya," kata Encik Sharma.

Encik Sharma, yang memfailkan kesnya bulan lepas, berkata jika anaknya terus menggunakan nama keluarga, beliau akan meminta untuk Rs. 10,000 rupee (RM539,843) sebagai bayaran hak cipta setiap kali beliau menggunakannya.

Warisan sistem kasta masih kuat diamalkan di kebanyakan bahagian di India, termasuk Bihar, satu daripada negeri paling miskin dan paling ramai penduduk.

Tindakan undang-undang telah diambil walaupun isteri Encik Sharma ini menyokong perkahwinan anaknya.

"Jika anak saya gembira dengan perkahwinannya, saya secara terbuka harus menyokongnya. Masa telah berubah sekarang, seseorang itu perlu memahaminya," katanya. - ndtv stream.wsj

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...