Tuesday 21 January 2014

ALOR SETAR: Tangisan selamatkan bayi daripada dibaham anjing liar



Alor Setar : Tangisan seorang bayi lelaki dipercayai dibuang sebaik sahaja dilahirkan berjaya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa anjing liar di Kampung Sungai Sebatang, Jalan Kuala Kedah, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, bayi tersebut yang diletakkan di atas plastik berwarna merah tanpa pakaian dijumpai seorang remaja, Normawani Ahmad, 17, yang terdengar tangisan mangsa.

Normawani berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di tingkat atas rumahnya dan terjaga sebaik sahaja terdengar tangisan kuat seorang bayi berhampiran tingkap rumahnya.

"Saya juga dengar bunyi orang berjalan dan bunyi tangisan di tepi tingkap. Bila saya buka tingkap saya nampak seorang bayi ditinggalkan dalam keadaan bogel di atas plastik berwarna merah.

"Saya terus beritahu ibu saya yang tidur di rumah kakaknya di sebelah rumah kami dan semua jiran-jiran turut dimaklumkan mengenai kejadian ini.

"Kawasan ini banyak anjing liar dan nasib bayi lelaki ini memang baik kerana dia menangis kuat sehingga menyebabkan saya terjaga, kalau tidak mungkin dia menjadi mangsa anjing-anjing liar ini," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.

Menurut Normawani, masih terdapat kesan darah dan najis pada badan bayi lelaki itu ketika ibunya membawa bayi tersebut ke dalam rumah.

"Badan bayi tersebut sudah menjadi biru kerana kesejukan dan terdapat banyak kesan gigitan nyamuk pada seluruh badannya.

"Ibu saya terus bersihkan bayi ini dan memakaikan dia baju anak saudara saya lalu kami ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kejadian ini," ujarnya.

Sementara itu ibu Normawani, Harison Shafie,50, berkata, dia memang terkejut apabila diberitahu terdapat seorang bayi lelaki dibuang berhampiran rumah mereka.

"Saya tak sangka tergamak ada orang membuang zuriatnya sendiri. Di kampung kami ini saya rasa tiada siapa yang mengandung," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. UTUSAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...