Showing posts with label dalam negara. Show all posts
Showing posts with label dalam negara. Show all posts

Sunday, 9 March 2014

KUANTAN: Ayam goreng dipenuhi telur lalat

KUANTAN : “Geli tekak selepas sedar ayam goreng yang dimakan ada telur lalat, memang nak termuntah sebab dah banyak tertelan benda kotor tu,” kata seorang Jurulatih Taekwondo selepas menyedari ayam goreng dalam hidangan nasi goreng ayamnya dipenuhi telur lalat.

Kejadian berkenaan berlaku ketika jurulatih terbabit yang ingin dikenali sebagai Azlan, 31 dan isterinya singgah untuk menjamu selera di sebuah restoran di Jalan Gambang selepas menghantar anaknya ke klinik kira-kira jam 11 malam, semalam.

KUALA LUMPUR: China dakwa jumpa serpihan pesawat

Kuala Lumpur : Beberapa serpihan pesawat dilaporkan ditemui di luar pantai Timur Barat Malaysia, namun ia masih belum dapat disahkan sebagai milik pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang.

Pegawai kanan Pentadbiran Penerbangan Awam China, Li Jiaxiang berkata, serpihan terbabit ditemui di kawasan longitud 103.29 darjah timur dan latitud 6.42 darjah utara.

“Penemuan ini bagaimanapun masih menanti pengesahan daripada pasukan mencari yang tiba di lokasi,” ujarnya di dalam satu laporan berita.

“Kita masih lagi belum pasti dengan lokasi sebenar pesawat tersebut, dan masih berharap akan keajaiban bahawa semua penumpang selamat,” kata Li seperti yang dilaporkan oleh China News.

"Ia juga masih belum jelas pada ketika ini sekiranya pesawat tersebut terlibat dalam serangan pengganas,” tambahnya.

Satu lagi laporan menyebut bahawa serpihan itu konsisten dengan satu gambar serpihan yang diambil oleh seorang penumpang yang menaiki sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines dari Beijing ke Kuala Lumpur, yang telah mendarat pada pagi Ahad.
Gambar-gambar tersebut dikatakan sebagai imej serpihan yang terapung di permukaan laut, setelah 90 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.
Semalam, pesawat Tentera Udara Vietnam mengesan dua tumpahan besar minyak di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 MAS itu dilaporkan hilang dan sehingga kini , proses mencari MH370 yang membawa 239 orang itu masih dijalankan. - AstroAwani

Monday, 24 February 2014

HULU LANGAT: Kembar empat generasi

DARI Kiri : Danish Haizad, Nur Shazlien Azzurien, Nur Shafieza Zuliera, Nur Shamiera Anniesa, Noor Syafira Izzati, Noor Syafinaz Izzati, Danish Haiqal.
Hulu Langat : Bertuahnya keturunan ini apabila 10 keluarga daripada empat generasi mempunyai anak kembar yang kebanyakannya seiras hingga menjadi sebutan dalam kalangan penduduk setempat.

Apa tidaknya, daripada moyang hingga ke cicit, pasti ada keluarga dalam setiap generasi dikurniakan anak kembar, sama ada lelaki atau perempuan.

Generasi kedua keluarga ini, Mohd Yusoff Arif, 66, berkata, tradisi kembar dalam keluarganya bermula sejak generasi datuk dan neneknya sebelum berterusan dalam keluarga ayah dan ibunya.

Menurutnya, dia memiliki lapan anak hasil perkahwinan dengan Juliana, 56, yang juga sepupunya tetapi tiada yang kembar.

Bagaimanapun, katanya, tradisi itu berterusan apabila anak perempuannya Rozita, 35, yang mendirikan rumah tangga dengan Khairulnizam Baharuddin melahirkan pasangan kembar lelaki. - HM

Sunday, 2 February 2014

KOTA BHARU: Pengantin Lelaki Lesap, Rugi RM60,000




KOTA BHARU : Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan manis seumur hidup bertukar menjadi pengalaman pahit buat seorang pensyarah institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Malang buatnya apabila bakal suaminya itu tidak muncul-muncul pada hari pernikahan mereka kelmarin, menyebabkan keluarga terpaksa menukar majlis menyambut menantu kepada majlis sambutan Maulidur Rasul.

Pensyarah tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Yaya (bukan nama sebenar), 28, berkata, pernikahannya sepatutnya berlangsung di sebuah masjid di Pengkalan Chepa di sini, jam 3 petang, namun pengantin lelaki tidak muncul selepas tiga jam menunggu.

Kejadian itu menyebabkan dia bukan sahaja trauma dan hilang keyakinan diri, malah ahli keluarganya mengalami kerugian hampir RM60,000.

Menurutnya, dia mengenali bakal suaminya itu melalui laman website mencari jodoh pada Mei tahun lalu dan mereka juga pernah beberapa kali keluar bersama.

Kenal lima bulan

“Saya malu dengan kejadian ini kerana ia melibatkan maruah keluarga. Saya langsung tidak menyangka dia sanggup menipu. Kami pernah beberapa kali bertemu dan saya percayakannya walaupun baru mengenalinya dalam tempoh lima bulan sebelum majlis merisik.

“Sebelum ini juga dia mengaku bujang dan bekerja di salah sebuah syarikat swasta terkenal di Baling, Kedah,” katanya.

Yaya mendakwa, sebelum majlis akad nikah, dia dipujuk lelaki terbabit untuk memasukkan sejumlah wang selepas lelaki tersebut memberikan alasan ia diperlukan untuk persediaan perkahwinan dan wang hantaran.

“Saya memasukkan wang dua kali. Mula-mula RM10,000 dan sekali lagi sebanyak RM15,000 setelah mengetahui dia mempunyai banyak komitmen. Tidak terlintas dalam fikiran saya yang dia akan bertindak begini," katanya yang mengakui lelaki itu adalah cinta pertamanya.

Menceritakan semasa majlis pernikahan itu, beberapa ahli keluarga terdekat mencari lelaki terbabit di rumah ibu bapanya di sebuah kampung di pinggir Kota Bharu namun hanya ibu bapa lelaki itu sahaja yang muncul.

“Dia tiada di rumah, hanya ibu bapa sahaja yang ada tetapi mereka bersikap seolah-olah tiada apa yang berlaku. Bapanya beritahu anaknya telah berkahwin dan tidak mempunyai kerja tetap.

“Kalau betul sekalipun, sepatutnya hal ini dibincangkan dan bawa berunding kerana ia melibatkan maruah keluarga,” katanya yang kehilangan ayah pada 1999.

Yaya mengakui amat sedih dengan kelakuan bakal suaminya itu yang tidak memberitahu perkara sebenar sejak awal lagi sehingga keluarganya telah membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.

Pengantin lelaki gagal dihubungi

Sementara itu, abang mangsa, Man (bukan nama sebenar), 38, berkata, laporan polis dibuat selepas lelaki itu gagal dihubungi dan malu kerana ia melibatkan maruah keluarga.

"Saya sudah mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila dia meminta adik memasukkan RM25,000 untuk persiapan perkahwinan mereka, namun saya masih lagi berfikiran positif.

“Kira-kira jam 11 pagi kelmarin (Jumaat), kami menunggu pengantin lelaki yang berjanji untuk menghantar borang perkahwinan, namun sehingga jam 5 petang, dia tidak hadir menyerahkan borang mahupun muncul pada majlis nikah sedangkan kami telah menyediakan jamuan dan memanggil imam masjid untuk akad nikah,” dakwanya.

Menurutnya, majlis kenduri terpaksa diteruskan kerana kad perkahwinan telah diedarkan dan jemputan dibuat sejak dua bulan lalu.

Ibu mangsa yang enggan dikenali pula berkata, dia tidak menyangka bakal menantunya itu sanggup memalukan anak perempuannya.

"Saya merestui hubungan mereka tetapi tidak sangka begini jadinya. Mereka mengenali antara satu sama lain selama lima bulan dan tarikh 1 Februari ini dipilih sempena hari lahir bakal suami anak saya.

“Semasa merisik, ibu bapanya datang pada waktu malam (sepatutnya selepas solat Asar) dengan hanya sebuah kereta dan dari situ, kami rasa pelik. Mereka memberikan alasan kereta rosak tetapi kami masih menerima dengan baik dan fikir positif tetapi begini akhirnya. Kami bukan berkira pasal duit tetapi ini melibatkan maruah," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut. - SinarHarian

Saturday, 1 February 2014

Kuala Lumpur: ‘Makan besar’ lebih bermakna

FIRDAUS (dua kanan) bersama isterinya (kiri) menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di Kepong, malam tadi.

Kuala Lumpur : “Tidak keterlaluan jika saya kata sambutan Tahun Baru Cina saya bersama ibu bapa lebih bermakna sejak saya memeluk Islam,” kata saudara baru, Firdaus Wong Wai Hung, 31.

Dia ditemui di majlis ‘makan besar’ bersama-sama ibu bapanya yang masih menganut agama Buddha di rumah ibu bapanya di Kepong, dekat sini, malam tadi.

 Menurutnya, sejak memeluk Islam hatinya lebih tenang dan dia juga tidak terbabit dengan aktiviti liar serta tidak berfaedah, berbanding sebelumnya.

“Sebab itulah sambutan Tahun Baru Cina saya penuh berkualiti bersama ibu bapa dan bukan keluar berfoya-foya serta minum arak seperti dulu,” katanya yang juga Presiden dan Penasihat Malaysia Reverted Muslim (MRM).

Firdaus yang kini pendakwah sepenuh masa berkata, hubungan dia dengan ibu, See Ah Lin, 56, dan bapanya, Wong Tak Kui, 69, tidak pernah terjejas biarpun selepas memeluk Islam, sembilan tahun lalu.

Menurutnya, dia amat bersyukur apabila ibu bapanya memberi peluang menjadi Muslim dan sebagai tanda terima kasih dia akan memastikan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada mereka.

Menceritakan bagaimana dia memeluk Islam, Firdaus berkata ia bermula dengan persoalan mengenai fungsi dia dilahirkan di dunia.

“Dulu, setiap minggu saya ke kelab malam dan minum sehingga mabuk. Namun hidup saya rasa kosong. Selepas peluk Islam, baru saya faham apa makna kehidupan dan fungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga bersyukur dikurniakan isteri, Nor Shakina Shahruddin, 32, yang memahami keadaan dirinya yang masih mempelajari Islam dan masih memerlukan bimbingan ketika baru memeluk Islam.

Mengenai aktivitinya kini sebagai pendakwah, Firdaus berkata biarpun banyak cabaran yang perlu ditempuhinya, dia berserah segala-galanya kepada Allah.

“Bagi saya, permulaan adalah perkara yang paling sukar, namun Allah sentiasa ada untuk memudahkannya selagi kita percaya kepada Nya.

Sementara itu, Wong berkata dia tidak menghalang anak bongsu daripada tiga beradik itu memeluk Islam kerana akhlak dan kelakuannya membuktikan dia mampu menjadi anak yang baik. 

“Saya tidak menghalang permintaannya sembilan tahun lalu asalkan mengikut jalan yang betul,” katanya. - HarianMetro

SEPANG: Selamat tiba di tanah air


SEPANG : "Kami gembira tiba di sini dan kami belum tahu hendak ke mana selepas ini," kata Aishah Azizul Raheem, 14, iaitu anak sulung pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden.

Aishah bersama tiga adiknya, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba dari Stockholm jam 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka pulang bersama Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, seorang pegawai khas beliau dan seorang saudara keluarga itu.

Turut kelihatan, beberapa ahli keluarga empat beradik terbabit menyambut ketibaan mereka di KLIA.



Pada masa sama, empat beradik terbabit akan dibawa bertemu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur pagi ini.
  
Sebelum ini, pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awalludin iaitu kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati Nurshal, seorang guru sekolah menengah yang didakwa memukul anak mereka kerana tidak menunaikan solat ditahan pihak berkuasa Sweden di kediaman mereka pada 14 Disember tahun lalu.

Penahanan itu disebabkan undang-undang ketat Sweden yang melarang anak dihukum melalui fizikal walaupun tanpa membabitkan kecederaan.

Pihak pendakwaan memperoleh perintah Mahkamah Daerah Solna Jumaat bagi melanjutkan tahanan reman Shalwati dan suaminya Azizul sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anak lelakinya.

Mereka direman sejak 18 Disember lalu, dan penahanan mereka sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali.Tiada had penahanan reman di Sweden. - HarianMetro

KUCHING: Sweden Beri 3 Syarat Ketat Kepada Malaysia


KUCHING : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan pematuhan tiga syarat ditetapkan Kerajaan Sweden sehingga membolehkan empat anak pasangan Malaysia yang ditahan boleh dibawa pulang ke tanah air.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata syarat itu selaras dengan Perkara 3 dan Perkara 20 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

"Tiga syarat dikenakan Jabatan Perkhidmatan Masyarakat Sweden iaitu Kerajaan Malaysia menerusi JKM perlu menghantar laporan berkala, mengadakan sesi kaunseling kepada anak dan memastikan 'social assurance' atau jaminan sosial yang terkandung dalam Perkara 3 dan 20 CRC dipatuhi.

"Sebagai menteri bertanggungjawab saya akan pastikan JKM melaksanakan ketiga-tiga syarat itu," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pesakit di Wad Hematologi Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.
  
Beliau menjelaskan Perkara 3 memberi penekanan berhubung 'kebajikan dan kepentingan kanak-kanak' manakala Perkara 20 berkaitan 'hak kanak-kanak yang berhak mendapat hak berada di bawah jagaan ibu bapa yang telah dinafikan'.
  
"Kedua-dua perkara ini diberi penekanan yang sebaik mungkin bagi membolehkan kanak-kanak ditempatkan bersama keluarga Muslim dan juga untuk membawa kanak-kanak pulang ke Malaysia," katanya.

Ketika diminta memperincikan syarat jaminan sosial itu, Rohani berkata ketika rundingan awal diadakan antara kedua-dua negara, Kedutaan Malaysia di Stockholm, Sweden meminta pandangan dan nasihat daripada JKM mengenai kes itu.

"Social assurance ini merujuk kepada kesanggupan Malaysia untuk memastikan semua hak kanak-kanak seperti pelindungan, pembangunan, kehidupan dan penyertaan yang terkandung dalam CRC terpelihara apabila mereka pulang ke Malaysia," katanya.

CRC adalah konvensyen yang diterima pakai oleh hampir seluruh negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Malaysia menandatangani atau meratifikasi CRC pada 1995. - Bernama - HarianMetro

JOHOR BARU: Lalang 'mamah' 40 kereta


JOHOR BARU : Angin kuat menyebabkan kebakaran lalang merebak hingga memusnahkan 40 kereta pelbagai jenis bernilai lebih setengah juta di tempat menyimpan kereta sebuah bengkel di Jalan Permatang 17, Taman Desa Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, kebakaran bermula di kawasan semak yang berbukit berhampiran bengkel kereta berkenaan yang menempatkan 80 kereta untuk dibaik pulih.

Katanya, semua kereta itu milik pelanggan sebuah bengkel dan diletakkan di situ sementara menunggu ia dibaik pulih selepas cuti Tahun Baru Cina.

"Bagaimanapun, api marak dari semak berhampiran dan merebak ke kawasan menyimpan kenderaan lalu memusnahkan 40 daripada 80 kenderaan itu.
  
"Tiga jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Larkin dan Johor Bahru dikejarkan ke lokasi dan memadamkan kebakaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Zon B Balai Bomba Johor Bahru, Haron Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2 petang dan tiba di tempat kejadian 14 minit kemudian.

"Kami memerlukan kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran. Ketika kejadian, pemilik serta pekerja bengkel tiada di lokasi dan kini masih menyiasat punca kebakaran," katanya. - HarianMetro

BALING: Khidmat penulis surat masih diperlukan


BALING : Walaupun ramai yang celik teknologi maklumat (IT) malah tahu menggunakan kemudahan komputer, khidmat penulis surat masih lagi mendapat sambutan.

Ini diakui Syarifah Diana Syed Ali, 30, yang menawarkan perkhidmatan itu sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, bukan sahaja penduduk kampung, malah pekerja profesional termasuk guru juga mendapatkan perkhidmatannya.

“Pelbagai jenis surat yang saya tulis, dari surat pelajar sehinggalah untuk golongan profesional,” katanya ketika ditemui premis perniagaannya di Bangunan Majlis Daerah Baling.

Syarifah yang berasal dari Pekan Khamis, Kupang berkata, setiap surat boleh disiapkan dalam hanya beberapa minit bergantung kepada jenis surat.

“Kalau setakat surat permohonan, memang sekejap, kalau untuk profil syarikat, ambil masa sedikit.

“Setiap hari ada saja permintaan dengan pelbagai jenis surat. Bila pelanggan nak surat tertentu, saya tahu formatnya, jadi, ia lebih mudah dan pelanggan pun berpuas hati,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kekangan masa ataupun kurang mahir dalam penulisan menjadikan perkhidmatan ini masih mendapat tempat.

“Sekarang semua nak mudah dan cepat, tambahan golongan profesional, disebabkan itu mereka dapatkan perkhidmatan ini. Bukan mereka tak tahu, tetapi mungkin mereka nak jimatkan masa,” katanya.

Kini, sukar mencari khidmat penulis surat terutama di kawasan bandar berikutan kebanyakan ramai mempunyai kemudahan untuk menulis surat sendiri, selain terdiri dari golongan yang berpelajaran. – Sinarharian

LENGGONG: Lata Kekabu ragut nyawa

Mayat mangsa dijumpai pada kira-kira jam 6.02 petang oleh anggota bomba dan JPAM.

LENGGONG : Seorang remaja ditemui mati lemas di Lata Kekabu, di sini, petang semalam ketika dia dan beberapa rakannya sedang bermandi-manda di kawasan tersebut.

Mayat mangsa, Muhammad Safwan Kamarul Zaman, 18, dari Putrajaya ditemui di kawasan itu oleh anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada jam 6.02 petang.

Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa dikatakan cuba untuk menguji kedalaman air di kawasan itu sebelum terus tenggelam.

“Semasa itu, dia kata nak tengok air di kawasan itu dalam atau tidak. Bila dia turun, dia terus tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi.

“Bila lihat dia mungkin lemas, kami segera menghubungi anggota bomba dan JPAM untuk bantu kami mencari mangsa,” katanya.

Anggota JPAM Kuala Kangsar yang kebetulan berada hampir dengan kawasan tersebut segera ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada kira-kira jam 4.30 petang.

Anggota JPAM, Ahmad Salihim Razali berkata, ketika tiba di situ, mayat masih belum ditemui dan beliau serta anggota JPAM lain membantu bomba mencari mangsa.

“Mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 6.02 petang dibawa ke Hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrom mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, tiada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu dan jenazah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat. – Sinarharian

Friday, 31 January 2014

PONTIAN: 20 tahun terpinggir

Ahmad (kiri) dan adiknya, Labu di rumah mereka di Kampung Parit Wak Talibek. Gambar kecil: Keadaan air parit yang kotor dan berkelodak menjadi sumber bekalan air Ahmad dan Labu.

PONTIAN : Dua beradik warga emas dari Kampung Parit Wak Talibek tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik sejak kira-kira 20 tahun lalu, selain tinggal di rumah yang usang.

Ahmad Marai, 67, dan adiknya Labu, 64, turut menjadikan air parit dan berwarna hitam di hadapan rumah sebagai sumber air untuk tujuan memasak serta mandi.

Tinjauan Sinar Harian ke rumah terbabit, semalam, mendapati keadaan di dalam rumah berkenaan tak terurus selain bumbung rumah kediaman hampir roboh akibat dihempap dahan kayu.

Ahmad berkata, dia pernah berkahwin, namun tidak bertahan lama, sementara adiknya Labu tidak pernah mendirikan rumah tangga.

“Kami bersyukur masih mempunyai rumah untuk berteduh dari panas dan hujan selain dapat bercucuk tanam.

"Kami gembira kerana diberikan kesihatan tubuh badan malah masih mampu mengayuh basikal sejauh kira-kira satu kilometer ke kedai untuk membeli barang keperluan,” katanya.

Katanya, dia pernah didatangi beberapa orang tidak dikenali menjenguk kawasan rumahnya.

“Ramai tidak sangka kami masih tinggal di sini, tetapi kami gembira menerima kehadiran mereka,” katanya.

Dia berharap agar rumah terbabit dapat dibaiki untuk keselesaan hidup mereka berdua.

“Cukuplah diberikan kayu dan zink baharu, sudah memadai untuk kami adik beradik membaiki rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (9) Mukim Benut, Abdul Rahman @ Pungut Selamat berkata, kediaman pasangan adik beradik itu merupakan rumah bantuan di bawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) yang dibina sekitar tahun 90an.

“Masalah yang dihadapi kedua beradik ini sudah saya ketahui dan bantuan yang diminta iaitu kayu dan zink akan diusahakan,” katanya. - sinarharian

Thursday, 30 January 2014

KUALA TERENGGANU: 20 pembantu guru BI dari AS bertugas di Terengganu


KUALA TERENGGANU : Seramai 20 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat tiba di sini untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga dan Empat di negeri ini.
  
Guru ETA ini merupakan kumpulan kesembilan yang menyertai program tahunan itu yang bertujuan meningkatkan pertukaran Malaysia dan Amerika dalam bidang pendidikan.
   
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu Ghazali Taib berkata kumpulan itu akan ditempatkan di tujuh daerah di negeri ini sehingga Oktober ini.
   
"Kami harap guru-guru ini juga akan memberi sumbangan dengan menganjurkan kelab dan aktiviti luar kurikulum berkaitan bahasa Inggeris," katanya pada majlis penyerahan di sini hari ini.
   
Program ETA Fulbright ini dikendalikan bersama oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (Macee) dan Kementerian Pendidikan.
   
Penyelaras Macee, Julia Berryman berkata 100 siswazah muda universiti Amerika Syarikat akan menyertai program ini dan sesetengah daripada mereka dihantar berkhidmat di negeri terpilih selama 10 bulan mulai Februari.
   
Emily Elizabeth Rivard, 23, dari Massachusetts, yang akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman, berkata beliau mengambil bahagian sebagai sukarelawan ETA kerana ingin mempelajari budaya tempatan.   

"Saya sungguh teruja untuk datang ke sini dan kemesraan masyarakat di sini membuat saya berasa lebih santai serta diterima baik. Saya tidak sabar untuk bertemu para pelajar," katanya. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...