Saturday 1 February 2014

Kuala Lumpur: ‘Makan besar’ lebih bermakna

FIRDAUS (dua kanan) bersama isterinya (kiri) menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di Kepong, malam tadi.

Kuala Lumpur : “Tidak keterlaluan jika saya kata sambutan Tahun Baru Cina saya bersama ibu bapa lebih bermakna sejak saya memeluk Islam,” kata saudara baru, Firdaus Wong Wai Hung, 31.

Dia ditemui di majlis ‘makan besar’ bersama-sama ibu bapanya yang masih menganut agama Buddha di rumah ibu bapanya di Kepong, dekat sini, malam tadi.

 Menurutnya, sejak memeluk Islam hatinya lebih tenang dan dia juga tidak terbabit dengan aktiviti liar serta tidak berfaedah, berbanding sebelumnya.

“Sebab itulah sambutan Tahun Baru Cina saya penuh berkualiti bersama ibu bapa dan bukan keluar berfoya-foya serta minum arak seperti dulu,” katanya yang juga Presiden dan Penasihat Malaysia Reverted Muslim (MRM).

Firdaus yang kini pendakwah sepenuh masa berkata, hubungan dia dengan ibu, See Ah Lin, 56, dan bapanya, Wong Tak Kui, 69, tidak pernah terjejas biarpun selepas memeluk Islam, sembilan tahun lalu.

Menurutnya, dia amat bersyukur apabila ibu bapanya memberi peluang menjadi Muslim dan sebagai tanda terima kasih dia akan memastikan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada mereka.

Menceritakan bagaimana dia memeluk Islam, Firdaus berkata ia bermula dengan persoalan mengenai fungsi dia dilahirkan di dunia.

“Dulu, setiap minggu saya ke kelab malam dan minum sehingga mabuk. Namun hidup saya rasa kosong. Selepas peluk Islam, baru saya faham apa makna kehidupan dan fungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga bersyukur dikurniakan isteri, Nor Shakina Shahruddin, 32, yang memahami keadaan dirinya yang masih mempelajari Islam dan masih memerlukan bimbingan ketika baru memeluk Islam.

Mengenai aktivitinya kini sebagai pendakwah, Firdaus berkata biarpun banyak cabaran yang perlu ditempuhinya, dia berserah segala-galanya kepada Allah.

“Bagi saya, permulaan adalah perkara yang paling sukar, namun Allah sentiasa ada untuk memudahkannya selagi kita percaya kepada Nya.

Sementara itu, Wong berkata dia tidak menghalang anak bongsu daripada tiga beradik itu memeluk Islam kerana akhlak dan kelakuannya membuktikan dia mampu menjadi anak yang baik. 

“Saya tidak menghalang permintaannya sembilan tahun lalu asalkan mengikut jalan yang betul,” katanya. - HarianMetro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...