Monday 3 February 2014

NEW DELHI: Dibakar ketika susukan anak

MAYAT Devi dan bayinya yang dibakar hingga mati oleh suami dan keluarga lelaki itu ketika di hospital.

New Delhi : Seorang ibu muda dibakar hingga mati bersama bayinya oleh suami dan keluarga lelaki itu kerana gagal membayar dowry atau hantaran perkahwinan.

Polis di negeri Jharkhand di timur India berkata, Annu Devi, 22, dibakar hidup-hidup ketika menyusukan bayi perempuannya.

Polis menahan suaminya, Gunjan Masat yang didakwa menyimbah minyak tanah ke tubuh Devi dan bayi perempuan mereka sebelum membakar kedua-dua beranak itu. Menurut bapa Devi, Raghuni Rana pasangan itu berkahwin lebih setahun tetapi masalah timbul selepas Devi melahirkan bayinya.

Encik Rana memberitahu polis, “Mereka mahukan anak lelaki tetapi tidak menyedari mendapat anak perempuan dan ianya bukan salah Devi.

“Mereka mula menyeksa anak saya dan saya tidak menyangka mereka sanggup membunuhnya.

‘Mereka ada menuntut motosikal dan televisyen walaupun saya sudah memberikan mereka dua bighas (1.6 ekar) tanah sebagai hantaran perkahwinan,” katanya.
 
Gunjan meletakkan tubuh Devi berhampiran pendiang api supaya kelihatan seperti kemalangan


Bagi menutupi kematian Devi dan agar kelihatan seolah-olah seperti kemalangan, Gunjan meletakkan tubuhnya berhampiran pendiang api, selain turut meletakkan bekas air berhampiran tempat itu.

Pada awal pagi 30 Januari, seorang penduduk melihat Devi dan bayi perempuannya terbaring di halaman rumah mentuanya.

Dia masih bernyawa ketika itu walaupun tubuhnya melecur 90 peratus. Dua beranak itu kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
 
Gunjan Masat telah ditangkap, manakala bapanya Mahendra Basat (gambar), telah disoal siasat. Anak-anaknya yang lain juga telah turut diburu polis.

Abang ipar Devi yang didakwa turut terbabit dalam pembunuhan itu masih diburu polis. Superintendan polis di daerah itu, Nirmal Kumar Mishra berkata, semua tertuduh akan ditangkap dan didakwa mengikut undang-undang.

Hantaran perkahwinan menjadi alasan utama mengapa bayi lelaki lebih digemari berbanding dengan bayi perempuan dalam budaya India. Ribuan janin digugurkan setiap tahun selepas ujian ultra bunyi menunjukkan jantina janin berkenaan.
  
Wanita juga dibunuh berikutan isu hantaran perkahwinan setiap jam di India, menurut data dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan negara itu. “Seramai 8,233 wanita muda, kebanyakan pengantin baru dibunuh dalam isu ‘kematian hantaran perkahwinan’ pada 2012,” lapor biro itu tahun lalu.

Ibu mertua Devi memegang jasad cucu perempuannya yang juga dibakar sampai mati 

Keganasan rumah tangga adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh hantaran perkahwinan merupakan perkara biasa di kawasan itu, tetapi pembunuhan Devi bersama-sama dengan bayi perempuan telah mengejutkan penduduk tempatan. – DailyMail

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...