Saturday 1 February 2014

BALING: Khidmat penulis surat masih diperlukan


BALING : Walaupun ramai yang celik teknologi maklumat (IT) malah tahu menggunakan kemudahan komputer, khidmat penulis surat masih lagi mendapat sambutan.

Ini diakui Syarifah Diana Syed Ali, 30, yang menawarkan perkhidmatan itu sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, bukan sahaja penduduk kampung, malah pekerja profesional termasuk guru juga mendapatkan perkhidmatannya.

“Pelbagai jenis surat yang saya tulis, dari surat pelajar sehinggalah untuk golongan profesional,” katanya ketika ditemui premis perniagaannya di Bangunan Majlis Daerah Baling.

Syarifah yang berasal dari Pekan Khamis, Kupang berkata, setiap surat boleh disiapkan dalam hanya beberapa minit bergantung kepada jenis surat.

“Kalau setakat surat permohonan, memang sekejap, kalau untuk profil syarikat, ambil masa sedikit.

“Setiap hari ada saja permintaan dengan pelbagai jenis surat. Bila pelanggan nak surat tertentu, saya tahu formatnya, jadi, ia lebih mudah dan pelanggan pun berpuas hati,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kekangan masa ataupun kurang mahir dalam penulisan menjadikan perkhidmatan ini masih mendapat tempat.

“Sekarang semua nak mudah dan cepat, tambahan golongan profesional, disebabkan itu mereka dapatkan perkhidmatan ini. Bukan mereka tak tahu, tetapi mungkin mereka nak jimatkan masa,” katanya.

Kini, sukar mencari khidmat penulis surat terutama di kawasan bandar berikutan kebanyakan ramai mempunyai kemudahan untuk menulis surat sendiri, selain terdiri dari golongan yang berpelajaran. – Sinarharian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...