Friday 31 January 2014

PONTIAN: 20 tahun terpinggir

Ahmad (kiri) dan adiknya, Labu di rumah mereka di Kampung Parit Wak Talibek. Gambar kecil: Keadaan air parit yang kotor dan berkelodak menjadi sumber bekalan air Ahmad dan Labu.

PONTIAN : Dua beradik warga emas dari Kampung Parit Wak Talibek tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik sejak kira-kira 20 tahun lalu, selain tinggal di rumah yang usang.

Ahmad Marai, 67, dan adiknya Labu, 64, turut menjadikan air parit dan berwarna hitam di hadapan rumah sebagai sumber air untuk tujuan memasak serta mandi.

Tinjauan Sinar Harian ke rumah terbabit, semalam, mendapati keadaan di dalam rumah berkenaan tak terurus selain bumbung rumah kediaman hampir roboh akibat dihempap dahan kayu.

Ahmad berkata, dia pernah berkahwin, namun tidak bertahan lama, sementara adiknya Labu tidak pernah mendirikan rumah tangga.

“Kami bersyukur masih mempunyai rumah untuk berteduh dari panas dan hujan selain dapat bercucuk tanam.

"Kami gembira kerana diberikan kesihatan tubuh badan malah masih mampu mengayuh basikal sejauh kira-kira satu kilometer ke kedai untuk membeli barang keperluan,” katanya.

Katanya, dia pernah didatangi beberapa orang tidak dikenali menjenguk kawasan rumahnya.

“Ramai tidak sangka kami masih tinggal di sini, tetapi kami gembira menerima kehadiran mereka,” katanya.

Dia berharap agar rumah terbabit dapat dibaiki untuk keselesaan hidup mereka berdua.

“Cukuplah diberikan kayu dan zink baharu, sudah memadai untuk kami adik beradik membaiki rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (9) Mukim Benut, Abdul Rahman @ Pungut Selamat berkata, kediaman pasangan adik beradik itu merupakan rumah bantuan di bawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) yang dibina sekitar tahun 90an.

“Masalah yang dihadapi kedua beradik ini sudah saya ketahui dan bantuan yang diminta iaitu kayu dan zink akan diusahakan,” katanya. - sinarharian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...