Tuesday 14 January 2014

LONDON: 15 tan makanan dibuang


London - Sejumlah 15 tan makanan dianggarkan bernilai lebih 19 bilion pound (RM102 bilion) dibuang begitu sahaja di Britain pada setiap tahun.

Menurut penyelidik, masalah pembaziran makanan itu didorong oleh sikap rakyat negara ini yang enggan membeli produk makanan yang 'buruk' seperti timun yang rosak.

Malah, kira-kira dua perlima buah-buahan atau sayur-sayuran tidak dapat dipasarkan kerana produk itu tidak dapat diterima pengguna.

Selain itu, peniaga masih tidak bersedia menerima makanan dalam bentuk dan saiz yang ganjil, sekali gus mengakibatkan petani menggunakan bahan berlebihan itu sebagai makanan haiwan.

Seorang pensyarah dari Universiti Oxford, Profesor Charles Godfray berkata, satu daripada punca masalah itu berlanjutan, bukan kerana peraturan, sebaliknya bagaimana pengguna memandang pembaziran itu sendiri.

''Pengguna sendiri masih enggan membeli produk cacat dan benda yang tidak elok.

''Walaupun berlaku perubahan dalam undang-undang pemasaran Kesatuan Eropah (EU) pada 2009 bagi memudahkan urusan penjualan produk makanan cacat, peniaga masih gagal menjual produk tersebut.

''Saya berpendapat, orang ramai masih tidak bersama kita berhubung kepentingan tentang apa itu pembaziran makanan,'' katanya kepada satu inkuiri di Dewan Tinggi Britain tentang isu itu.

Godfray berkata, Britain sedang berhadapan dengan krisis keselamatan makanan dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah bergantung kepada kira-kira 40 peratus makanan import bagi memenuhi keperluan mereka.


Sementara itu, pensyarah di Jabatan Ekologi Penduduk Universiti Leeds, Profesor Tim Benton berkata, keperluan terhadap sistem makanan adalah semakin meningkat dan agak sukar untuk menggambarkan Britain mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan isu keselamatan makanan, melainkan dengan terus menghasilkan makanan dengan lebih banyak. - AGENSI

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...