Tuesday 28 January 2014

Suami Songsang dalam Bukan Wanita Sempurna




CUKUP berani! Itu kesimpulan yang dibuat setelah menonton klip video lagu terbaharu Ning Baizura, Bukan Wanita Sempurna semasa Chit Chat bersama Ning baru-baru ini.

Apa-apa pun tahniah kepada Ning Baizura yang berjaya menghasilkan sebuah klip video yang menjadi bualan ramai setelah dimuat naik di laman Youtube. Perkongsian video yang dibuat penyanyi bersuara soprano ini adalah sebagai langkah mempromosi lagunya. Itu harapan Ning yang mahu lagu dan klip video dikeluarkan secara serentak seperti promosi di luar negara.

Dalam klip video itu, wanita berusia 38 tahun ini digambarkan sebagai seorang isteri kepada lelaki berkerjaya yang menjalinkan hubungan songsang.

Sememangnya, Ning tidak mahu ada yang beranggapan dia mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama. Jalan ceritanya telah dibincangkan begitu lama setelah melalui proses penapisan.

Menurut Ning, klip video itu juga telah diluluskan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Pada mulanya, saya memang risau dengan jalan cerita klip video ini yang mengetengahkan hubungan songsang antara sepasang lelaki. Sejujurnya, niat sebenar saya bukanlah untuk mempromosikan cara hidup songsang seperti yang digembar-gemburkan oleh orang ramai. Saya hanya mengetengahkan isu yang dianggap tabu tetapi masih berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

"Sebab itu, saya tidak mahu orang di luar sana beranggapan negatif dan terus menghukum saya. Mesej dalam klip video itu jelas supaya wanita seharusnya berhati-hati dalam melayari bahtera rumah tangga," katanya.



Tambah Ning, suaminya juga antara salah seorang individu yang risau kerana takut penonton akan membayangkan itu adalah berdasarkan kisah benar mereka.

"Setelah menjelaskan secara terperinci kepadanya, dia mulai faham dan tidak mengambil serius dengan jalan cerita yang ditampilkan itu," katanya.

Klip video tersebut adalah idea asal daripada seorang pengarah terkenal dari Indonesia bernama Zul Ardhia dan penggambarannya juga dilakukan di Indonesia. Watak suami pula dilakonkan oleh pelakon sinetron, Benny Ruswandi.

Sementara itu, Ning memberitahu mereka akan memberikan kesinambungan lagu tersebut yang telahpun dirakamkan dalam versi berbeza berjudul Bukan Lelaki Sempurna.

"Versi itu dinyanyikan oleh Anji, vokalis kumpulan Drive. Jika diizinkan, kami berdua akan berduet menerusi sebuah lagu bagi memberikan penghujung kepada kedua-dua lagu itu," ujarnya sambil memberitahu sedang merancang untuk menjadikan Konsert Pelangi Untukmu sebagai sebuah konsert jelajah yang dapat menghiburkan peminat di Singapura, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah. Utusan Melayu(M) Bhd

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...