Thursday 23 January 2014

SEREMBAN: Sungai Kepala Khinzir


Seremban : Penduduk di sekitar Kampung Legong Jaya, Rembau, dinasihatkan tidak menggunakan air di sungai berkenaan berikutan kesucian air sungai tersebut kini diragui.

Mufti kerajaan negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, babi tergolong dalam najis mughallazah, mana-mana individu Islam yang menyentuhnya perlu di samak dengan sempurna.

Katanya, sekiranya air di sungai itu berada dalam kuantiti yang sedikit, sudah pasti wujudnya kekotoran, akibat daripada pembuangan kepala binatang berkenaan.

“Dan sekiranya air sungai berkenaan terkena pakaian mahu pun tubuh badan kita (orang Islam) ia perlu disamak.

“Oleh sebab itulah, saya menasihatkan kepada penduduk kampung berkenaan supaya tidak menggunakan lagi air tersebut, kerana kesucian dan kebersihan sungai itu sangat diragui,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Charanpal Singh  berkata pihaknya sudah menghantar wakil untuk meneliti keadaan di sungai tersebut dan mengambil contoh air berkenaan untuk diperiksa kualitinya,  bagi memastikan ia tidak tercemar.

Katanya, keputusan mengenai tahap kualiti air di sungai berkenaan belum dapat diberikan, memandangkan ia mengambil masa sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Kejadian ini merupakan pertama kali kita terima, kerana sebelum ini tiada sebarang aduan dibuat oleh penduduk kampung.

“Mungkin juga mereka membuat aduan kepada jabatan lain, atau PBT berkaitan, namun kita akan menyiasat perkara ini dengan teliti bagi memastikan tiada wujudnya pencemaran air di sungai berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar dan juga Majlis Daerah Rembau, bagi menyelesaikan isu tersebut.

“kita yakin kejadian ini pasti dilakukan oleh orang luar, berikutan di Negeri Sembilan  tidak mempunyai pusat penyembelihan binatang (babi) berkenaan.

“Namun kita tidak mahu menuduh sesiapa, sehingga siasatan terperinci dilakukan bersama pihak berkuasa, serta jabatan lain yang terlibat,” katanya. sinarharian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...