Thursday 30 January 2014

INFO: Almaty, tempat kelahiran epal


ALMATY – KAZAKHSTAN : Almaty, pusat kewangan Kazakhstan dikatakan mendapat nama daripada pokok epal yang pada satu ketika tumbuh dengan banyaknya mengelilingi bandar ini. Menurut pemandu pelancong, Alexander Yezhor, 67, Almaty bermaksud epal dalam bahasa Kazakh.

"Sebelum ini Almaty dipanggil Alma-Ata yang bermaksud bapa epal," katanya dengan merujuk kepada malus sieversii liar (epal) yang tumbuh di rantau ini dan dikatakan 'moyang' kepada kebanyakan epal yang ditanam di seluruh dunia hari ini.

Di samping buah epal, Yezhor turut berkata, bandar Almaty hari ini adalah juga 'buah hati' pelancong kerana keindahan persekitaran semulajadi serta seni bina moden yang gah.


TARIKAN ALMATY

Terletak di kaki gunung banjaran Tien Shan range, Almaty kini adalah sebuah bandar yang terkenal dengan seni bina moden. Jalan raya di bandar ini dibina begitu teratur dengan barisan pohon serta pokok bunga yang mencantikkan lagi pemandangan sekitar.

Keindahan bandar diserikan lagi dengan pancuran air, taman-taman yang menarik dan pemandangan gunung-ganang yang hebat.

Sebahagian besar penduduk Kazakhstan tinggal di bandar ini dan ia juga adalah pusat kewangan, komersial dan pelancong negara ini. Almaty pernah menjadi ibu negara Kazakhstan sebelum Presiden Nursultan Nazarbayev menjadikan Astana sebagai ibu negara pada 1997.

Bagaimanapun, Almaty kekal menjadi pusat kewangan bukan sahaja untuk Kazakhstan tetapi juga Asia Tengah.


MESTI DIKUNJUNGI

Menurut Pengarah Jualan Seluruh Dunia, Air Astana, Richard Ledger, wajah kemodenan Almata yang juga dikenali sebagai "ibu negara selatan" bertambah cantik dengan banjaran gunung-ganang, tasik dan lembah.

Kesemuanya ini menjadikan Almaty sebuah tempat yang amat menarik untuk dikunjungi.

"Ramai rakyat Malaysia datang ke Almaty kerana banyak yang boleh dibuat di sini. Almaty yang terletak di kawasan pergunungan sesuai untuk aktiviti seperti meluncur ais dan menunggang kuda," katanya.

Air Astana, syarikat penerbangan negara Kazakhstan, mula melakukan penerbangan kerap pada 15 Mei 2002. Pada masa ini ia mengendalikan hampir 60 penerbangan antarabangsa dan domestik dari Almaty, Astana dan Atyrau.


MAKANAN KAZAKHSTAN

Mereka yang datang ke Kazakhstan pastinya tidak akan kecewa dengan makanan yang terdapat di negara ini. Antara restoran yang terkenal ialah Augustin yang memaparkan tradisi terbaik Eropah lama dan Del Papa, restoran dengan citarasa Itali.

Tidak lengkap jika tidak mencuba hidangan sosej daging kuda jika berkunjung ke Kazakhstan serta 'Kumys', susu kuda betina yang dimasamkan di mana ia mengandungi juga kandungan alkohol dan dihidangkan pada musim bunga dan panas.


PELANCONG MUSLIM

Memandangkan 70 peratus penduduk Kazakhstan adalah orang Islam, tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal di negara ini. Siswazah universiti, Samat Kassymbayev, 24, yang beragama Islam berkata beliau dan keluarganya tidak mempunyai masalah untuk membeli daging halal serta produk halal lain di negara ini.

"Enam puluh peratus daripada produk yang dijual di pasar adalah halal dan terdapat banyak restoran yang menghidangkan makanan halal di sini," katanya.

Beliau menambah meskipun terdapat banyak kumpulan etnik di Kazakhstan, semuanya peramah dan mesra antara satu sama lain.

"Ia sama seperti di Malaysia. Rakyat di sana begitu baik," katanya sambil berkata beliau pernah ke Malaysia mengikuti program pertukaran pelajar Universiti Putra Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...