Showing posts with label Sweden. Show all posts
Showing posts with label Sweden. Show all posts

Saturday, 1 February 2014

SEPANG: Selamat tiba di tanah air


SEPANG : "Kami gembira tiba di sini dan kami belum tahu hendak ke mana selepas ini," kata Aishah Azizul Raheem, 14, iaitu anak sulung pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden.

Aishah bersama tiga adiknya, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba dari Stockholm jam 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka pulang bersama Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, seorang pegawai khas beliau dan seorang saudara keluarga itu.

Turut kelihatan, beberapa ahli keluarga empat beradik terbabit menyambut ketibaan mereka di KLIA.



Pada masa sama, empat beradik terbabit akan dibawa bertemu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur pagi ini.
  
Sebelum ini, pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awalludin iaitu kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati Nurshal, seorang guru sekolah menengah yang didakwa memukul anak mereka kerana tidak menunaikan solat ditahan pihak berkuasa Sweden di kediaman mereka pada 14 Disember tahun lalu.

Penahanan itu disebabkan undang-undang ketat Sweden yang melarang anak dihukum melalui fizikal walaupun tanpa membabitkan kecederaan.

Pihak pendakwaan memperoleh perintah Mahkamah Daerah Solna Jumaat bagi melanjutkan tahanan reman Shalwati dan suaminya Azizul sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anak lelakinya.

Mereka direman sejak 18 Disember lalu, dan penahanan mereka sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali.Tiada had penahanan reman di Sweden. - HarianMetro

KUCHING: Sweden Beri 3 Syarat Ketat Kepada Malaysia


KUCHING : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan pematuhan tiga syarat ditetapkan Kerajaan Sweden sehingga membolehkan empat anak pasangan Malaysia yang ditahan boleh dibawa pulang ke tanah air.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata syarat itu selaras dengan Perkara 3 dan Perkara 20 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

"Tiga syarat dikenakan Jabatan Perkhidmatan Masyarakat Sweden iaitu Kerajaan Malaysia menerusi JKM perlu menghantar laporan berkala, mengadakan sesi kaunseling kepada anak dan memastikan 'social assurance' atau jaminan sosial yang terkandung dalam Perkara 3 dan 20 CRC dipatuhi.

"Sebagai menteri bertanggungjawab saya akan pastikan JKM melaksanakan ketiga-tiga syarat itu," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pesakit di Wad Hematologi Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.
  
Beliau menjelaskan Perkara 3 memberi penekanan berhubung 'kebajikan dan kepentingan kanak-kanak' manakala Perkara 20 berkaitan 'hak kanak-kanak yang berhak mendapat hak berada di bawah jagaan ibu bapa yang telah dinafikan'.
  
"Kedua-dua perkara ini diberi penekanan yang sebaik mungkin bagi membolehkan kanak-kanak ditempatkan bersama keluarga Muslim dan juga untuk membawa kanak-kanak pulang ke Malaysia," katanya.

Ketika diminta memperincikan syarat jaminan sosial itu, Rohani berkata ketika rundingan awal diadakan antara kedua-dua negara, Kedutaan Malaysia di Stockholm, Sweden meminta pandangan dan nasihat daripada JKM mengenai kes itu.

"Social assurance ini merujuk kepada kesanggupan Malaysia untuk memastikan semua hak kanak-kanak seperti pelindungan, pembangunan, kehidupan dan penyertaan yang terkandung dalam CRC terpelihara apabila mereka pulang ke Malaysia," katanya.

CRC adalah konvensyen yang diterima pakai oleh hampir seluruh negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Malaysia menandatangani atau meratifikasi CRC pada 1995. - Bernama - HarianMetro

Saturday, 18 January 2014

KUALA LUMPUR: Rintihan Anak


Kuala Lumpur : “We are sad.. we need mummy and daddy. We miss them so much.. Please come back to us, we can’t live without them. (Kami sedih... kami perlukan mummy dan daddy. Kami terlalu rindukan mereka. Tolonglah kembali kepada kami, kami tidak boleh hidup tanpa mereka).

Itu kata-kata yang diluahkan dalam Facebook Aisyah, anak sulung pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal yang ditahan polis Sweden sejak Disember lalu.

Aisyah, 14, memuatnaik gambarnya dan tiga lagi adiknya, Ammar, Adam dan Ariff yang kelihatan murung ketika dalam kenderaan awam.

Mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun diuruskan Jabatan Kebajikan Sweden, kini ditempatkan di sebuah rumah keluarga angkat sejak ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa Sweden pada 14 Disember lalu.

Ketika berita mengenai nasib Azizul Raheem dan Shalwati yang ditahan kerana didakwa memukul seorang anak mereka yang tidak bersolat disiarkan BH pada 15 Januari lalu, nasib empat anak pasangan itu tidak diketahui, susulan pihak kedutaan Malaysia tidak dibenarkan bertemu mereka.

Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Sweden akhirnya buat pertama kali memberi kebenaran kepada pegawai kedutaan Malaysia untuk bertemu empat anak pasangan suami isteri itu semalam.

Sejak pasangan terbabit ditahan 14 Disember lalu, tiada wakil dari kedutaan Malaysia di sana dibenarkan bertemu dengan keempat-empat beradik itu dan pihak kedutaan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk kebenaran mengadakan pertemuan.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, empat anak pasangan warga Malaysia itu, menyatakan tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat berlainan agama di Sweden.

Anak sulung pasangan itu, Aisyah, berkata beliau dan tiga adik lelakinya berusia 7, 11 dan 12 tahun, ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial negara itu.

Aisyah berkata, mereka tidak gembira dengan keadaan dalam rumah berkenaan.

“Kami tidak gembira kerana keluarga angkat bela anjing.

Keluarga angkat juga makan makanan tidak halal, walaupun kami tidak diberi makanan itu, tetapi kami berkongsi pinggan mangkuk yang sama,” katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi semalam.

Aisyah berkata, mereka juga berulang kali menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia secepat mungkin, namun tidak dibenarkan pekerja khidmat sosial.
SUMBER

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...