Showing posts with label bunuh. Show all posts
Showing posts with label bunuh. Show all posts

Thursday, 30 January 2014

BANGI: Budak perempuan 7 tahun mati dikelar bapa


BANGI : Seorang lelaki mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi di sini, petang tadi.
   
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berkenaan mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari.
   
"Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
    
Beliau berkata seorang lagi anak perempuannya yang berumur 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dapat menyelamatkan diri daripada bapa mereka, yang bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian itu.
   
Menurutnya anak perempuannya berusia 15 tahun itu, yang baru pulang dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan memegang sebilah parang di dalam rumah.

"Budak perempuan itu melihat ada kesan darah di ruang tamu dan mendapati adik-adiknya cedera. Dia terus menjerit dan memanggil abangnya yang berada di tingkat atas.
   
"Abangnya meluru keluar dari bilik dan melihat keadaan di tingkat bawah lalu meminta adiknya itu segera berlari ke tingkat atas dan bersembunyi di dalam bilik sebelum dia menghubungi polis," katanya.
   
Abd Rahim berkata ketika tiba, polis mendapati dua anaknya yang cedera berada di ruang tamu dan segera membawa mereka ke Hospital Kajang dekat sini untuk rawatan.
   
Beliau berkata polis menjumpai mayat budak perempuan, yang dikelar di leher, di bilik tingkat bawah rumah itu.
   
Susulan kejadian itu, polis mencari lelaki berusia 44 tahun itu dan menemuinya di tebing sungai di belakang kawasan perumahan itu kira-kira 6 petang.
   
"Suspek dijumpai dalam keadaan murung, basah dan cedera di kepalanya. Polis percaya suspek telah terjun ke dalam sungai tetapi naik ke tebing kemudian," katanya.
   
Abd Rahim berkata polis turut merampas sebilah parang daripada suspek itu.

Suspek yang menganggur sejak dua tahun lepas, tidak mempunyai rekod jenayah dan mungkin mengalami masalah mental. - Bernama 

Friday, 18 October 2013

DALAM NEGARA: Isteri sembelih suami kerana tamakkan harta

Banting, 18 Oktober : Tamak harta mengatasi rasa cinta seorang wanita terhadap suaminya apabila dia sanggup bersubahat merancang pembunuhan teman hidupnya yang dikahwini sejak tiga tahun lalu selepas gagal mewarisi harta lelaki itu bernilai   RM500,000.

Perkara itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang lelaki berusia 62 tahun yang disembelih dan ada beberapa kesan kelar di belakang badan di rumahnya di Kampung Sungai Sedu, di sini, 5 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, isteri mangsa pada mulanya cuba mengabui mata pihak berkuasa apabila berpura-pura meminta bantuan jiran konon suaminya dibunuh sekumpulan lelaki yang menceroboh rumah mereka.

Bagaimanapun, polis yang mengesyaki sesuatu menahan wanita berkenaan  selepas gagal menemui sebarang tanda menunjukkan kediaman mereka dipecah masuk lelaki yang dikatakan seramai 20 orang.
“Polis menahan wanita berusia 50 tahun itu dan hasil siasatan mendapati dia sebenarnya suspek utama di sebalik pembunuhan suaminya.

 “Siasatan polis mendapati suspek tidak berpuas hati apabila mangsa tidak mewariskan harta bernilai RM500,000 kepadanya.

 “Sebaliknya mangsa menamakan pewaris harta itu ialah anak hasil perkahwinannya dengan isteri pertama yang meninggal dunia tiga tahun lalu,” katanya.

Metro Ahad 6 Oktober lalu melaporkan seorang lelaki diserang dan dibunuh kejam oleh sekumpulan lelaki yang mengelar tangan, belakang badan serta menyembelih mangsa di rumahnya di Kampung Sungai Sedu, 5 Oktober  lalu.

Kejadian berlaku  jam 3.30 pagi dan mangsa berusia 60-an itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Langat empat jam kemudian akibat kehilangan banyak darah.

 Nordin berkata, siasatan juga mendapati isteri mangsa disyaki bersubahat dengan menantunya berusia 28 tahun untuk membunuh mangsa.

“Menantu suspek bersama dua lagi rakannya berusia 19 tahun dikatakan menyembelih mangsa,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, tujuh individu ditahan di Klang pada 7 dan 8 Oktober lalu sebelum dalang sebenar iaitu isteri mangsa dikenal pasti.

"Difahamkan, suspek wanita itu ada masalah dengan anak tirinya sedangkan suaminya meletakkan nama mereka dalam surat wasiat sebagai pewaris harta," katanya ketika ditemui, semalam. 

Nordin berkata, polis turut menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa iaitu sebilah parang, sebilah pisau pemotong daging dan sebilah pisau.

Polis juga merampas sepasang sarung tangan yang digunakan suspek selain sebuah Proton Saga dan semua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk hari ini.



SUMBER: hmetro.com.my

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...