CUKUP berani! Itu kesimpulan yang dibuat setelah menonton klip
video lagu terbaharu Ning Baizura, Bukan Wanita Sempurna semasa Chit Chat
bersama Ning baru-baru ini.
Apa-apa pun tahniah kepada Ning Baizura yang berjaya
menghasilkan sebuah klip video yang menjadi bualan ramai setelah dimuat naik di
laman Youtube. Perkongsian video yang dibuat penyanyi bersuara soprano ini
adalah sebagai langkah mempromosi lagunya. Itu harapan Ning yang mahu lagu dan
klip video dikeluarkan secara serentak seperti promosi di luar negara.
Dalam klip video itu, wanita berusia 38 tahun ini digambarkan
sebagai seorang isteri kepada lelaki berkerjaya yang menjalinkan hubungan
songsang.
Sememangnya, Ning tidak mahu ada yang beranggapan dia
mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama. Jalan ceritanya
telah dibincangkan begitu lama setelah melalui proses penapisan.
Menurut Ning, klip video itu juga telah diluluskan oleh
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
"Pada mulanya, saya memang risau dengan jalan cerita klip
video ini yang mengetengahkan hubungan songsang antara sepasang lelaki.
Sejujurnya, niat sebenar saya bukanlah untuk mempromosikan cara hidup songsang
seperti yang digembar-gemburkan oleh orang ramai. Saya hanya mengetengahkan isu
yang dianggap tabu tetapi masih berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
"Sebab itu, saya tidak mahu orang di luar sana beranggapan
negatif dan terus menghukum saya. Mesej dalam klip video itu jelas supaya
wanita seharusnya berhati-hati dalam melayari bahtera rumah tangga,"
katanya.
Tambah Ning, suaminya juga antara salah seorang individu yang
risau kerana takut penonton akan membayangkan itu adalah berdasarkan kisah
benar mereka.
"Setelah menjelaskan secara terperinci kepadanya, dia mulai
faham dan tidak mengambil serius dengan jalan cerita yang ditampilkan
itu," katanya.
Klip video tersebut adalah idea asal daripada seorang pengarah
terkenal dari Indonesia bernama Zul Ardhia dan penggambarannya juga dilakukan
di Indonesia. Watak suami pula dilakonkan oleh pelakon sinetron, Benny
Ruswandi.
Sementara itu, Ning memberitahu mereka akan memberikan
kesinambungan lagu tersebut yang telahpun dirakamkan dalam versi berbeza
berjudul Bukan Lelaki Sempurna.
"Versi itu dinyanyikan oleh Anji, vokalis kumpulan Drive.
Jika diizinkan, kami berdua akan berduet menerusi sebuah lagu bagi memberikan
penghujung kepada kedua-dua lagu itu," ujarnya sambil memberitahu sedang
merancang untuk menjadikan Konsert Pelangi Untukmu sebagai sebuah konsert
jelajah yang dapat menghiburkan peminat di Singapura, Pulau Pinang dan Kota
Kinabalu, Sabah. Utusan Melayu(M) Bhd
No comments:
Post a Comment