DIKISAHKAN bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam
kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya
dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan
ikhlas kerana ALLAH S.W.T."
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak
gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya.
Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah
bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya
sehingga putus.
Semenjak dari peristiwa itu maka ALLAH S.W.T pun mengubah
kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia
menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam
keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu
rumah ke rumah.
Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang
kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.
Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa
anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut
dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut.
Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun
memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si
suami hendak makan bersamanya.
Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga
tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan
tentang tangan gadis tersebut.
Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan
tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata,
"Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian,
oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap
makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.
Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu,
"Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu
telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada
halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun
mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam
keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan
kanan.
Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia
fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia
adalah tetamu kita.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barang
siapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang
siapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan ALLAH S.W.T.
Dan barang siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah
menjadi kemarahanku. Dan barang siapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia
telah menjadikan murka ALLAH S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu
itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama
dengan seribu berkah dan seribu rahmat."
Dipetik daripada blog Detik Islam.com
No comments:
Post a Comment