London - Sejumlah 15 tan makanan
dianggarkan bernilai lebih 19 bilion pound (RM102 bilion) dibuang begitu sahaja
di Britain pada setiap tahun.
Menurut penyelidik, masalah pembaziran makanan itu didorong oleh
sikap rakyat negara ini yang enggan membeli produk makanan yang 'buruk' seperti
timun yang rosak.
Malah, kira-kira dua perlima buah-buahan atau sayur-sayuran
tidak dapat dipasarkan kerana produk itu tidak dapat diterima pengguna.
Selain itu, peniaga masih tidak bersedia menerima makanan dalam
bentuk dan saiz yang ganjil, sekali gus mengakibatkan petani menggunakan bahan
berlebihan itu sebagai makanan haiwan.
Seorang pensyarah dari Universiti Oxford, Profesor Charles
Godfray berkata, satu daripada punca masalah itu berlanjutan, bukan kerana
peraturan, sebaliknya bagaimana pengguna memandang pembaziran itu sendiri.
''Pengguna sendiri masih enggan membeli produk cacat dan benda
yang tidak elok.
''Walaupun berlaku perubahan dalam undang-undang pemasaran
Kesatuan Eropah (EU) pada 2009 bagi memudahkan urusan penjualan produk makanan
cacat, peniaga masih gagal menjual produk tersebut.
''Saya berpendapat, orang ramai masih tidak bersama kita
berhubung kepentingan tentang apa itu pembaziran makanan,'' katanya kepada satu
inkuiri di Dewan Tinggi Britain tentang isu itu.
Godfray berkata, Britain sedang berhadapan dengan krisis
keselamatan makanan dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah bergantung
kepada kira-kira 40 peratus makanan import bagi memenuhi keperluan mereka.
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Ekologi Penduduk Universiti
Leeds, Profesor Tim Benton berkata, keperluan terhadap sistem makanan adalah
semakin meningkat dan agak sukar untuk menggambarkan Britain mempunyai cara
tersendiri dalam menguruskan isu keselamatan makanan, melainkan dengan terus
menghasilkan makanan dengan lebih banyak. - AGENSI
No comments:
Post a Comment