Ahmad (kiri) dan adiknya, Labu di rumah mereka di Kampung Parit
Wak Talibek. Gambar kecil: Keadaan air parit yang kotor dan berkelodak menjadi
sumber bekalan air Ahmad dan Labu.
|
PONTIAN : Dua beradik warga emas dari
Kampung Parit Wak Talibek tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik
sejak kira-kira 20 tahun lalu, selain tinggal di rumah yang usang.
Ahmad Marai, 67, dan adiknya Labu, 64, turut menjadikan air
parit dan berwarna hitam di hadapan rumah sebagai sumber air untuk tujuan
memasak serta mandi.
Tinjauan Sinar Harian ke rumah terbabit, semalam, mendapati
keadaan di dalam rumah berkenaan tak terurus selain bumbung rumah kediaman
hampir roboh akibat dihempap dahan kayu.
Ahmad berkata, dia pernah berkahwin, namun tidak bertahan lama,
sementara adiknya Labu tidak pernah mendirikan rumah tangga.
“Kami bersyukur masih mempunyai rumah untuk berteduh dari panas
dan hujan selain dapat bercucuk tanam.
"Kami gembira kerana diberikan kesihatan tubuh badan malah
masih mampu mengayuh basikal sejauh kira-kira satu kilometer ke kedai untuk
membeli barang keperluan,” katanya.
Katanya, dia pernah didatangi beberapa orang tidak dikenali
menjenguk kawasan rumahnya.
“Ramai tidak sangka kami masih tinggal di sini, tetapi kami
gembira menerima kehadiran mereka,” katanya.
Dia berharap agar rumah terbabit dapat dibaiki untuk keselesaan
hidup mereka berdua.
“Cukuplah diberikan kayu dan zink baharu, sudah memadai untuk
kami adik beradik membaiki rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (9) Mukim Benut, Abdul
Rahman @ Pungut Selamat berkata, kediaman pasangan adik beradik itu merupakan
rumah bantuan di bawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) yang dibina
sekitar tahun 90an.
“Masalah yang dihadapi kedua beradik ini sudah saya ketahui dan
bantuan yang diminta iaitu kayu dan zink akan diusahakan,” katanya. - sinarharian
No comments:
Post a Comment