Seorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Login facebook. Benda
pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia
terlepas pandang selama ini. Bahagian ‘OTHER’ di inboxnya. Ada satu, dua mesej.
Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.
Ditatap isinya,
“Salam.
Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu
sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.
Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa
sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.
Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu
tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah
hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada
nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu
hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah
terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke
prepaid tu?
Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh
bercakap. Kamu asyik panggil, ‘Abah, abah, abah’. Abah seronok sekali anak
lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu
walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu
4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat.
Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah
gelak tawa si kecil.
Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap
dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah.
Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah
jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah.
Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke
sekolah belajar.
Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu
balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar
dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai.
Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami
bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.
Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah
dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja
ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan
henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan
dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih
penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak
nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?
Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun
boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi
seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah.
Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.
Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.
Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah
terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.
Abah tak minta banyak…
Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah.
Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu.
Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu
kecil-kecil dulu.
Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini.
Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.
Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun,
jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta
di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan
abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.
Maafkan abah atas segalanya.”
Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana
tidaknya. Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat
selama-lamanya. Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya. - FB
No comments:
Post a Comment