London : Aplikasi Angry Birds untuk
telefon pintar didakwa digunakan perisik untuk mengintip warga Britain.
Akhbar Guardian melaporkan, berdasarkan dokumen didedahkan bekas
perisik Edward Snowden, aplikasi rangkaian sosial dan peta turut dieksploitasi
Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) Britain dan Agensi Keselamatan
Kebangsaan (NSA) AS.
Dokumen sulit diperoleh akhbar itu menunjukkan aplikasi telefon
pintar disalahgunakan untuk mendapatkan butiran peribadi seperti usia, jantina
dan lokasi seseorang selain kenalan dan laman web dilayari.
Menurut dokumen itu, kebanyakan laman media sosial seperti
Facebook dan Twitter membuang data meta mengandungi maklumat berhubung lokasi
yang boleh diperoleh sebelum sesuatu gambar disiarkan.
Bagaimanapun, maklumat sedemikian masih boleh dikutip agensi
risikan ketika proses muat naik.
Dokumen sulit itu mendedahkan antara data yang dapat diperoleh
termasuk maklumat sensitif seperti orientasi seksual atau tabiat seksual
seseorang.
Sementara itu firma pembuat Angry Birds, Rovio Entertainment
berkata, mereka tidak terbabit dengan GCHQ atau NSA, selain tidak tahu mengenai
dakwaan berkenaan.
Jurucakap NSA pula menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan
aktiviti risikan dilakukan mengikut perundangan dan hanya terhadap sasaran
sahih.
“NSA tidak berminat mengetahui komunikasi harian orang awam yang
bukan sebahagian daripada badan risikan antarabangsa.
“Sebarang dakwaan NSA mendapatkan maklumat risikan antarabangsa
melalui laman media sosial atau telefon pintar adalah palsu semata-mata.
“Kami hanya mendapatkan bahan komunikasi yang dibenarkan
mengikut undang-undang,” katanya.- Agensi
No comments:
Post a Comment