Sunday, 19 January 2014

GEORGETOWN: Misteri di sebalik kedai kosong


Georgetown : Jika diperhatikan dari depan, kelihatan premis kedai itu seakan-akan kosong dan tidak berpenghuni, namun siapa sangka di dalamnya menempatkan puluhan komputer yang telah diubah suai khas untuk kaki judi.

Tidak mempunyai papan tanda, pintu depan dikunci dan kawasan kedai kelihatan suram itu antara helah yang digunakan pengusaha pusat judi untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di sini mendapati taktik itu banyak digunakan oleh pengusaha pusat judi dan mereka menjadikan pintu belakang sebagai laluan rahsia untuk pelanggan masuk.

Bukan itu sahaja, pemerhatian mendapati premis itu juga dipantau rapi kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya pelanggan tetap dan individu tertentu dibenarkan masuk.

Ada juga premis guna papan tanda perniagaan lain seperti pusat sukan dan pusat latihan komputer, namun di dalamnya adalah pusat judi.

Sinar Harian sempat menemu bual seorang penyelia pusat judi bagi mengetahui lebih lanjut modus operandi mereka.

Atas sebab keselamatan, dia tidak mahu identitinya didedah dan enggan gambarnya dirakam selain hanya mahu dikenali sebagai Garry.

Menurut Garry, untuk mengenal pasti premis itu menjalankan kegiatan judi bukanlah sukar.

Pelanggan hanya perlu melihat keadaan luar kedai kerana ada beberapa tanda digunakan yang biasanya difahami individu tertentu atau pelanggan tetap.

“Kebiasaannya pengusaha kedai judi akan menampal kertas yang tertulis perkataan seperti Google, Internet dan beberapa perkataan lain di pintu depan atau belakang premis berkenaan.

“Selain itu, ada juga antara pengusaha judi menampal logo di premis judi mereka seperti logo motosikal, lambang pasukan bola sepak dan imej kartun Master Q,” katanya.

Ditanya mengenai permainan atau jenis pertaruhan yang dilakukan di dalam premis berkenaan, Garry berkata, antara permainan yang sering mendapat sambutan ialah Rolex, Black Jack, slot dan tidak kurang juga ada kaki judi yang gemar bertaruh secara dalam talian (online).

Katanya, pelbagai hadiah ditawarkan pusat judi untuk menarik lebih ramai pengunjung antaranya motosikal dan baucar membeli belah.

“Disebabkan terlalu banyak pusat judi bersaing sesama sendiri, ada pengusaha memberi minuman percuma atau menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan lain.

“Tapi di Pulau Pinang saya tidak pernah dengar pula pusat judi menawarkan hadiah yang terlalu lumayan ataupun perempuan, untuk menarik pelanggan,” katanya.

Garry berkata, pelanggannya tergolong daripada pelbagai kaum dan kebanyakan berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Mereka biasa menghabiskan sekurang-kurangnya RM50 sehari untuk bertaruh malah ada yang mengeluarkan modal besar demi melayani ketagihan judi mereka.

Dia turut mengakui setiap pusat judi di negeri ini dijaga tonto dan pelanggan di dalam tidak perlu risau kerana setiap kali serbuan dibuat oleh pihak berkuasa sudah pasti mereka akan mendapat maklumat dengan cepat.

Garry bagaimanapun berkata, kini kebanyakan pengusaha pusat judi tidak senang duduk berikutan terlalu banyak operasi dijalankan pihak berkuasa. SUMBER

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...