Kuala Lumpur : Selepas kontroversi seorang
guru mualaf, Choi Yi Shan, 25, diarahkan untuk membuka tudung semasa mengajar
di SJKC Nan Ya, Teluk Sengat, Johor, malam tadi diskriminasi yang sama
dikenakan kepada seorang penyanyi yang membuat persembahan di Roof Lounge,
Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.
Marinatasha Isnariah Mustapar, 33, yang sepatutnya menyanyi
bersama band Rufus dimalukan dengan diarahkan turun daripada pentas utama
ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 iaitu sebuah syarikat pemaju
hartanah yang berpusat di Plaza Damas, Sri Hartamas. “Saya rasa sangat malu
kerana sudah bersiap sedia mengambil tempat di atas pentas dengan mikrofon.
Saya terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan membawa turun bersama note
stand,” jelas Marina yang kecewa diaibkan di hadapan lebih kurang seratus
tetamu pada insiden jam 8.00 malam tadi.
Arahan berbaur perkauman tersebut dikeluarkan oleh Pengarah
Kewangan CASTMET, Shannon Yong. Menurut Marina lagi, Shahnon ada menemuinya
sebelum acara berlangsung dengan meminta dia mencari penyanyi ganti yang tidak
bertudung untuk menjayakan persembahan tersebut.
“Semasa saya mengadakan latihan bersama pemuzik di studio Plaza
Damas pada 16 Januari lalu, wakil CASTMET ada bersama dan mereka tidak pernah
isukan mengenai tudung yang saya pakai. Hanya semasa hari majlis tersebut,
Shahnon menimbulkannya atas alasan tidak sesuai, sedangkan ada tetamu yang datang
berhijab.” Artis Akademia Fantasia 8, Zafarina Jamhari atau Farina yang muncul
kemudian dalam persembahannya turut bersimpati dengan mengundang Marina untuk
naik ke atas pentas bagi menyanyikan dua buah lagu, “Someone Like You” dan
“Price Tag”.
“Saya lihat tetamu tiada sebarang masalah dengan penampilan saya
berhijab. Malah Pengerusi kumpulan syarikat CASTMET, Tan Sri Mohd Anwar Mohd
Nor turut meminta saya menyanyi lagu tambahan,” jelas Marina yang kemudian
telah dimarahi Shannon setelah selesai persembahan tersebut. Menurutnya lagi,
Shannon kemudian telah memanggilnya di bahagian luar dewan kerana tidak berpuas
hati dengan tindakan Marina menyanyi dalam keadaan bertudung. Setelah
melepaskan kemarahannya, Shannon meninggalkannya bersama Penolong Pengurus
Pembangunan syarikat, Jaharudin Abdul Malek untuk menyelesaikan masalah
tersebut.
Jaharudin ketika dihubungi MySuara pagi tadi mengesahkan
kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut kerana dia bukan pihak yang
berautoriti. Bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang muzik dan vokal
yang pertama kali menjadi mangsa rasis dan diskriminasi perkauman setelah 12
tahun bergiat dalam industri tersebut menyifatkan tindakan penganjur sebagai
satu penghinaan terhadap agama dan kepercayaannya sebagai seorang Muslim.
“Kita berada di Malaysia bukan Amerika Syarikat. Malah Amerika
Syarikat pun sudah menerima penyanyi Malaysia berhijab seperti Yuna. Apa
masalah kita di Malaysia? Yang menyanyi mulut saya bukan tudung saya!” tegas
Marina yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40
pagi tadi selepas pulang dari majlis tersebut. SUMBER
No comments:
Post a Comment