Tuesday, 14 January 2014

KUALA LUMPUR: Maut Dilanggar Komuter


Kuala Lumpur - Sepasang suami isteri warga emas maut apabila dilanggar komuter ketika melintas landasan berhampiran stesen komuter di Jalan Reko, Kajang kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Badariah Wan Hanafi ketika dihubungi berkata, suami isteri itu dipercayai menceroboh kawasan landasan untuk memintas jalan ke rumah mereka yang terletak 200 meter dari tempat kejadian.

"Kedua-duanya mati di tempat kejadian, bagaimanapun kejadian tersebut tidak menjejaskan perkhidmatan komuter," katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, mangsa dikenal pasti Md Nor Lian, 70, dan isterinya Noriah Mat Ani, 65.

"Pasangan itu tinggal di rumah sendiri di Kajang Utama dan disara oleh anak-anaknya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Missan Bennu berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah selepas diseret sejauh tiga kilometer sebelum terpelanting ke dalam sebuah parit.

"Pemandu keretapi tersebut telah membuat laporan polis sejurus menyedari melanggar kedua-dua mangsa itu," katanya sambil menambah komuter itu dalam perjalanan dari Seremban ke Rawang.


Sebanyak tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang terlibat dalam operasi membawa keluar mayat mangsa dan dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...