BANGI : Seorang lelaki mengelar hingga
mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak
perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi di sini, petang
tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata
dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berkenaan mencederakan anak-anak
perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga
menyebabkan seorang daripadanya putus jari.
"Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah
suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata seorang lagi anak perempuannya yang berumur 15
tahun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dapat menyelamatkan diri
daripada bapa mereka, yang bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian itu.
Menurutnya anak perempuannya berusia 15 tahun itu, yang baru pulang
dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri
dengan memegang sebilah parang di dalam rumah.
"Budak perempuan itu melihat ada kesan darah di ruang tamu
dan mendapati adik-adiknya cedera. Dia terus menjerit dan memanggil abangnya
yang berada di tingkat atas.
"Abangnya meluru keluar dari bilik dan melihat keadaan di
tingkat bawah lalu meminta adiknya itu segera berlari ke tingkat atas dan
bersembunyi di dalam bilik sebelum dia menghubungi polis," katanya.
Abd Rahim berkata ketika tiba, polis mendapati dua anaknya yang
cedera berada di ruang tamu dan segera membawa mereka ke Hospital Kajang dekat
sini untuk rawatan.
Beliau berkata polis menjumpai mayat budak perempuan, yang
dikelar di leher, di bilik tingkat bawah rumah itu.
Susulan kejadian itu, polis mencari lelaki berusia 44 tahun itu
dan menemuinya di tebing sungai di belakang kawasan perumahan itu kira-kira 6
petang.
"Suspek dijumpai dalam keadaan murung, basah dan cedera di
kepalanya. Polis percaya suspek telah terjun ke dalam sungai tetapi naik ke
tebing kemudian," katanya.
Abd Rahim berkata polis turut merampas sebilah parang daripada
suspek itu.
Suspek yang menganggur sejak dua tahun lepas, tidak mempunyai
rekod jenayah dan mungkin mengalami masalah mental. - Bernama
No comments:
Post a Comment