Alor Setar : Tangisan seorang bayi lelaki
dipercayai dibuang sebaik sahaja dilahirkan berjaya menyelamatkannya daripada
menjadi mangsa anjing liar di Kampung Sungai Sebatang, Jalan Kuala Kedah, di
sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, bayi tersebut yang
diletakkan di atas plastik berwarna merah tanpa pakaian dijumpai seorang
remaja, Normawani Ahmad, 17, yang terdengar tangisan mangsa.
Normawani berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di tingkat
atas rumahnya dan terjaga sebaik sahaja terdengar tangisan kuat seorang bayi
berhampiran tingkap rumahnya.
"Saya juga dengar bunyi orang berjalan dan bunyi tangisan
di tepi tingkap. Bila saya buka tingkap saya nampak seorang bayi ditinggalkan
dalam keadaan bogel di atas plastik berwarna merah.
"Saya terus beritahu ibu saya yang tidur di rumah kakaknya
di sebelah rumah kami dan semua jiran-jiran turut dimaklumkan mengenai kejadian
ini.
"Kawasan ini banyak anjing liar dan nasib bayi lelaki ini
memang baik kerana dia menangis kuat sehingga menyebabkan saya terjaga, kalau
tidak mungkin dia menjadi mangsa anjing-anjing liar ini," katanya ketika
ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.
Menurut Normawani, masih terdapat kesan darah dan najis pada
badan bayi lelaki itu ketika ibunya membawa bayi tersebut ke dalam rumah.
"Badan bayi tersebut sudah menjadi biru kerana kesejukan
dan terdapat banyak kesan gigitan nyamuk pada seluruh badannya.
"Ibu saya terus bersihkan bayi ini dan memakaikan dia baju
anak saudara saya lalu kami ke balai polis untuk membuat laporan mengenai
kejadian ini," ujarnya.
Sementara itu ibu Normawani, Harison Shafie,50, berkata, dia
memang terkejut apabila diberitahu terdapat seorang bayi lelaki dibuang
berhampiran rumah mereka.
"Saya tak sangka tergamak ada orang membuang zuriatnya
sendiri. Di kampung kami ini saya rasa tiada siapa yang mengandung,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner
Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di
bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. UTUSAN
No comments:
Post a Comment