Sibu : Seorang lelaki berumur 27 tahun
ditangkap polis selepas disyaki merogol seorang gadis bawah umur di dalam
sebuah kereta, baru-baru ini.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku antara jam 7 malam hingga 8
malam ketika mangsa berumur 15 tahun dikatakan ponteng kelas tuisyen untuk
berjumpa dengan seorang lelaki yang baharu dikenalinya di sebuah pusat siber
lewat tahun lepas.
Terdahulu, bapa mangsa menghantar anak gadisnya ke pusat tuisyen
itu, namun sebaik sahaja bapanya beredar dari situ, mangsa dipercayai berjumpa
dengan suspek yang sedang menantinya di bahagian belakang pusat tuisyen
tersebut.
Difahamkan, mangsa bersembang dengan suspek yang kemudian
mengajaknya masuk ke dalam kereta jenis Toyota Avanza.
Suspek kemudian membawa mangsa ke tempat lain yang tidak dapat
dipastikan sebelum berjaya memujuk mangsa untuk melakukan seks di dalam kereta
itu.
Selepas memuaskan nafsunya, suspek telah menghantar mangsa
kembali ke pusat tuisyen, tetapi mangsa bertukar fikiran dan berjalan kaki
pulang ke rumahnya tidak jauh dari situ.
Difahamkan, mangsa yang serba-salah telah memberitahu teman
lelakinya yang datang ke rumahnya pada malam tersebut.
Tindakan tersebut telah membuat teman lelakinya marah dan
memaklumkan perkara itu kepada bapa mangsa.
Kesal dengan apa yang berlaku terhadap anaknya, bapa mangsa
telah bertindak membuat laporan polis.
Polis yang dimaklumkan mengenai kes tersebut, bertindak mencari
suspek dan berjaya menahan seorang lelaki yang tinggal di Jalan Lada, petang
kelmarin.
Turut dirampas ialah sebuah kereta Toyota Avanza.
Pihak polis forensik yang kebetulan berada di sini turut
menjalankan pemeriksaan terhadap kereta Avanza tersebut di Balai Polis Sentral
petang kelmarin.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu
siasatan lanjut. theborneopost
No comments:
Post a Comment