Saturday 28 December 2013

GERIK: Pasar raya terbakar


Gerik - Pemilik sebuah pasar raya di sini yang menjual pakaian terpaksa menanggung kerugian apabila tiga premisnya terbakar pada kira-kira jam 4.25 petang, kelmarin.

Dalam kebakaran tersebut, hampir keseluruhan kedai dan barang jualan dalam premis tersebut musnah dan tidak sempat diselamatkan.

Penolong Ketua Balai Bomba Gerik, Mior Muhammad Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pada jam 4.25 petang.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan anggota kami cuba membuat persempadanan api bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan lain.

“Api berjaya dikawal daripada memusnahkan bangunan kedai lain setengah jam kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Mior berkata, operasi memadamkan kebakaran melibatkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Lenggong dan Pengkalan Hulu dengan kekuatan 22 anggota.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak kami. Walaupun kebakaran ini melibatkan tiga kedai, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran dan menyelamat tamat kira-kira jam 7.30 malam.

SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...