Friday 13 December 2013

DALAM NEGARA: Suri rumah miliki DVD cetak rompak dihukum


IPOH - Mahkamah Seksyen di sini menjatuhi hukuman denda RM176,000 atau 22 tahun penjara terhadap seorang suri rumah yang didapati bersalah memiliki 88 DVD cetak rompak tujuh tajuk filem dua tahun lalu.

Hakim Noor Hayati Mat membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Chai Siew Wan, 44, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa.

Bagi setiap keping DVD, Mahkamah memutuskan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa atas kesalahan memiliki 88 unit salinan langgaran karya filem ketika hak cipta masih milik Television Broadcast Limited dan TVBO Production Limited di sebuah gerai tidak bernombor di Pasar Awam Chenderong, Batu Gajah, kira-kira jam 6.30 petang, 3 Oktober 2011.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 (Akta 322) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1)(I) akta sama.
  
Pihak pendakwa diwakili Mark Kenneth Netto manakala K C Lai mewakili tertuduh.


SUMBER: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...