Saturday 14 December 2013

DALAM NEGARA: 20 penumpang nyaris maut


KUALA LUMPUR : Dua puluh penumpang sebuah bas nyaris maut apabila pemandunya gagal mengawal kenderaan itu hingga merempuh tembok sebuah kedai di Jalan Pudu, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.55 petang itu, bas RapidKL yang dalam perjalanan dari pusat bandar ke Jalan Cheras, di sini secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum naik ke laluan pejalan kaki dan merempuh kedai menjual peralatan pam air dan jentera.  

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Polis Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata akibat rempuhan itu, pemandu bas berkenaan dilaporkan patah kaki, manakala dua lagi penumpang wanita cedera ringan di kaki selepas tercampak ke hadapan bas.

Bagaimanapun, ketika kejadian tiada sesiapa berada dalam kedai yang dirempuh itu selepas ia ditutup pada jam 6 petang.

Setakat ini kita masih menjalankan siasatan sama ada kejadian ini disebabkan tindakan pemandu bas yang memandu dalam keadaan laju dan cuai sehingga mengabaikan keselamatan atau berpunca daripada masalah teknikal bas berkenaan.

Bagaimanapun siasatan kemalangan ini akan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan memandu secara melulu dan tidak berhati-hati, katanya ketika dihubungi semalam.

Abdullah berkata, siasatan ke atas pemandu berusia 40-an itu akan dibuat selepas beliau selesai menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, salah seorang mangsa Misari Isa, 24, memberitahu pemandu bas berkenaan memandu secara tergesa-gesa termasuk ketika mengambil penumpang di setiap hentian bas.

Ketika baru sebelah kaki saya memijak tangga untuk menaiki bas ini di hentian Puduraya, pemandu terbabit terus memandu bas seolah-olah mahu mengejar sesuatu dan mulai saat itu, saya mula merasa tidak selamat, katanya.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...