Monday 2 December 2013

DALAM NEGARA: Dua beradik dicekup bersebelahan bilik

BUTTERWORTH: Dua beradik dipercayai bercuti ke negeri ini sempena cuti tahun baru dikatakan mengambil kesempatan untuk bermalam di sebuah hotel bajet bersama teman lelaki masing-masing.

Kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an itu dikatakan datang dari Kuala Lumpur sebelum sepakat untuk menginap dengan teman lelaki mereka dalam dua bilik terletak bersebelahan di hotel bajet di Kampung Gajah, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu terbongkar apabila penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), menjalankan pemeriksaan pencegahan maksiat di hotel bajet berkenaan kira-kira jam 5 pagi.

Hasil pemeriksaan terbabit mendapati bahawa seorang daripada wanita berkenaan berada dalam sebuah bilik bersama lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga didakwa masih mempunyai isteri.

Kakak kepada wanita itu pula dikatakan masih berstatus isteri orang tetapi didakwa dalam proses perceraian didapati berdua-duaan dalam bilik bersama seorang duda.

Sebelum itu, dalam operasi diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, bersama 22 pegawai dan anggota penguat kuasa turut menahan seorang wanita yang masih berstatus isteri orang kerana disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki warga Nepal kira-kira jam 3 pagi di sebuah motel di Simpang Ampat, dekat sini.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu didapati turut membawa anak lelakinya berusia enam tahun untuk menginap bersama-sama dengan pemuda warga asing terbabit dipercayai bagi mengaburi perbuatannya.

Penahanan wanita terbabit menyebabkan lelaki warga asing terbabit yang dipercayai penuntut kolej di Ipoh, Perak terpinga-pinga kebingungan.

Lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 20-an itu tidak ditahan anggota penguat kuasa kerana bukan beragama Islam kelihatan tidak tentu arah melihat teman wanitanya dibawa menaiki kenderaan jabatan agama terbabit.

Dakwanya, dia tidak tahu ke mana mahu ditujuinya kerana tidak biasa dengan kawasan berkenaan selepas dikatakan dibawa teman wanitanya yang juga warga tempatan untuk menginap di hotel terbabit sejurus tiba dari Ipoh.

Lelaki berkenaan kemudiannya dilihat meminta wang daripada teman wanitanya yang sudah berada dalam kenderaan jabatan agama kerana mendakwa tiada duit belanja.

Difahamkan, wanita terbabit memberikannya wang sebanyak RM50 untuk digunakan lelaki berkenaan pulang semula ke Ipoh.

Tiga pasangan berkenaan adalah antara 39 orang termasuk 21 wanita yang ditahan JHEAIPP dalam operasi khas tahun baru di sekitar Seberang Perai, di sini.

Khairul Azman berkata, sebanyak 20 buah hotel bajet diperiksa sepanjang operasi berkenaan bagi mengesan aktiviti maksiat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu mendapati ada pasangan kekasih mengambil kesempatan cuti umum untuk menginap bersama pasangan masing-masing.

Hasil pemeriksaan, seorang lelaki bukan Islam dilepaskan daripada sebarang tindakan, manakala seorang lelaki lagi berjaya melarikan diri selepas terjun keluar dari tingkap di tingkat dua sebuah hotel bajet selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Semua yang ditahan itu berusia dari 16 tahun hingga 40-an dan kini disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996,” katanya.


SUMBER: hmetro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...