Friday 20 December 2013

DALAM NEGARA: Tenggelam dihanyut arus deras


Sungai Siput - Hasrat lima sekawan memancing di pinggir Sungai Perak bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka hilang dikhuatiri lemas dalam kejadian berhampiran Jambatan Victoria, Karai, semalam.

Seorang remaja Muhammad Ismail Mazalan, 13, disyaki lemas selepas kayu yang dipautnya terlepas dan menyebabkannya hanyut dibawa arus.

Salah seorang rakan mangsa, Mohd Khalish Mohd Khairi, 16, berkata, dia sempat memegang tangan Ismail semasa mereka hampir hanyut namun tanpa disedari pegangannya terlepas.

“Saya bersama-sama dengan dia (Ismail) turun ke dalam air. Mulanya kami mahu mengalihkan kayu besar yang ada di kawasan ini kerana Ismail katan dia nak buat pangkin (tempat duduk) supaya kami boleh berehat di atasnya.

“Kami berpaut pada kayu itu dalam keadaan badan kami di dalam air. Bila kayu itu berpusing, pegangan kami terlepas dan kami hanyut. Saya sempat capai tangan rakan saya yang berada di atas.

“Masa itu saya dapat rasa tangan saya menggenggam tangan Ismail tapi saya tidak sedar bila pegangan saya terlepas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, seorang lagi rakan mangsa, Mohamed Noor Hafizz Hasnon, 17, berkata, dia segera menghulurkan tangannya apabila melihat rakannya lemas namun dia hanya dapat menyelamatkan Khalish seorang.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Bila kayu besar bergerak, mereka berdua terlepas kayu itu dan terus hanyut. Saya sempat capai tangan Khalish dan tarik dia naik ke atas.

“Selepas itu, saya mencari kayu panjang untuk diberikan kepada Ismail tetapi tidak sempat. Saya nampak tangan dia timbul tapi bila dia tenggelam, dia terus tidak timbul-timbul lagi,” katanya.

Menurutnya, semalam mereka turut memancing di situ tetapi mereka tidak turun ke dalam sungai sebaliknya hanya merendam kaki ke dalam sungai tersebut.

“Ismail memang bersungguh-sungguh mengajak kami pergi memancing pada hari ini (semalam). Kayu besar itu pun dia yang bersungguh-sungguh nak alihkan sampaikan kami terpaksa tolong dia,” katanya.

Minta izin ke Rawang

Sementata itu, bapa Ismail, Mazalan Abdul Wahab, 43, reda dengan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.

Menurutnya, dia mendapat panggilan mengenai perkara itu kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

"Saya terkejut menerima panggilan memaklumkan beita ini.  Kali terakhir saya bercakap dengan dia adalah pada pukul 10 pagi tadi. Dia meminta izin untuk pergi ke Rawang bagi menghadiri kenduri rakannya.

“Masa itu, suara dia sangat gembira. Tak sangka pula ini yang terjadi. Sekarang, saya cuma harap anak saya dapat dijumpai secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Siput, Superitendan Azman Salim memaklumkan, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut kira-kira jam 1.30 tengah hari.

“Selepas anggota tiba di kawasan kejadian, anggota segera menghubungi pihak bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela bagi membantu mencari mangsa.

“Setakat jam 6 petang, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Mangsa yang disyaki lemas adalah seorang remaja berusia 13 tahun,” katanya.



SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...