Monday 9 December 2013

DALAM NEGARA: Skim Persaraan Swasta dikenakan cukai

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Pindaan Akta Cukai 1967 memangsakan rakyat apabila pengeluaran simpanan  Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun akan dikenakan cukai penuh.

Beliau berkata, tindakan kerajaan itu bertentangan dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa melancarkan inisiatif kerajaan untuk mengalakkan pekerja swasta memohon skim tersebut.

Najib yang ketika itu menyatakan keuntungan dan pendapatan skim persaraan swasta dikecualikan daripada cukai.

"Tetapi, kita pelik apabila Timbalan Menteri Kewangan berkata kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam skim berkenaan mendapat pelepasan cukai adalah tidak munasabah.

"Pembayar cukai mendapat pelepasan cukai maksimumnya sebanyak RM3,000 setahun dengan pindaan akta tersebut bermakna penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi pelepasan cukai yang diberikan sebelum ini," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri melancarkan komponen akhir skim persaraan swasta menerusi penubuhan Pentadbir Pencen Swasta yang dilengkapkan dengan kelulusan set pertama skim berkenaan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan pembangunan industri pencen swasta.

Beliau berkata, menjadi harapan semua generasi Malaysia mempunyai simpanan aset kewangan yang mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati sepenuhnya persaraan kelak.

Rafizi berkata, pindaan sebegini sudah menjadi amalan BN sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkiri selepas keputusan pilihan raya.

“Jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam Skim Persaraan Swasta mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat.

“Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan cukai sehingga maksima RM3,000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) sedangkan tabungan di dalam Skim Persaraan Swasta kebanyakannya melebihi RM3,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata, dengan pindaan tersebut, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi  pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mendedahkan kandungan pindaan Akta Cukai 1967 merangkumi peluasan kuasa kerajaan untuk mengutip cukai syarikat daripada pemegang saham yang pegangan saham melebihi 20%, pengarah atau mana-mana individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sebuah syarikat.

“Ini bermakna pemegang saham kini terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun pemegang saham itu tidak terlibat di dalam pengurusan sekali pun.

“Pindaan ini sama seperti menghapuskan pemisahan di antara liabiliti syarikat dan individu atau pemegang saham yang menjadi asas persyarikatan,” katanya.

Rafizi berkata, pindaan tersebut bertujuan membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat dan syarikat; walaupun kutipan cukai meningkat secara purata 10% setiap tahun sejak 3 tahun kebelakangan ini.

Semasa sidang Dewan Rakyat semalam, Rafizi mencabar Menteri Kewangan sekiranya kerajaan mahu menghapuskan pemisahan di antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai, maka pendekatan yang sama perlu digunakan dalam soal mengutip hutang dari individu yang terlibat di dalam skandal kewangan harta negara.

Katanya, hal itu termasuk menghapuskan pemisahan di antara pengarah National Feedlot Corporation (NFC) daripada syarikat itu dalam soal hutang RM250 juta yang diambil oleh NFC daripada kerajaan.


“Oleh kerana pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 menghapuskan perbezaan yang disebutkan tadi, maka pengarah NFC keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu membayar segera RM250 juta tersebut,” katanya.


SUMBER:
http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...