Friday 20 December 2013

DALAM NEGARA: Hidup diganggu ceti haram


Johor Bahru – Seorang pekerja kilang mendakwa bukan sahaja tidak dapat memandu kereta idamannya, malah dia dan keluarganya terpaksa hidup dalam ketakutan selepas kerap diganggu sindiket ceti haram.

Episod hitam keluarga ini bermula akibat maklumat yang sepatutnya digunakan untuk tujuan jual beli kenderaan seperti salinan kad pengenalan, slip gaji serta bil elektrik dan bil air telah disalah guna oleh seorang wanita yang juga ejen menjual kereta bagi membuat pinjaman wang.

Menceritakan kisahnya, Ayu (bukan nama sebenar) dan suaminya Zarul (bukan nama sebenar) mengakui pernah beberapa kali berurusan dengan wanita berkenaan termasuk menyerahkan wang tunai RM500 sebagai pendahuluan pembelian kereta jpada 25 Ogos lalu.

Dakwanya, wanita yang dipercayainya itu didapati gagal memproses permohonan pinjaman pembelian kereta di bank dan melesapkan wang pendahuluan itu.

“Pada mulanya, saya memang berurusan di pusat menjual kereta di Pasir Gudang dan diuruskan oleh wanita tersebut. Namun, ada kalanya wanita itu (ejen jurujual) mengajak saya dan suami berbincang di luar termasuk untuk urusan membayar wang pendahuluan itu.

“Saya percaya dan bayar sahaja wang pendahuluan yang diminta termasuk menyerahkan dokumen maklumat yang diminta sebelum menyedari diri telah ditipu,” katanya kepada media semasa memberi aduan kepada Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay, di sini, semalam.

Ayu semakin bimbang apabila wanita itu turut menggunakan kad pengenalan miliknya untuk membuat pinjaman daripada ceti haram dan perkara tersebut diketahui selepas menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali mendakwa dirinya telah meminjam wang.

“Pada jam kira-kira 11.30 pagi pada 21 November lalu, kediaman kami didatangi seorang lelaki yang mahu menuntut hutang dan dia menunjukkan salinan kad pengenalan saya dan salinan bil elektrik milik kami.

“Kemudian, selang dua minggu, dua lelaki tidak dikenali mendesak untuk membayar RM3,000 dan menyatakan mereka adalah pekerja ceti haram. Saya jadi sangat takut. Mahu keluar rumah pun sangat risau.

“Kami bimbang dengan keselamatan keluarga tambahan pula saya mempunyai tiga anak lelaki berusia antara dua bulan hingga tujuh tahun,” katanya yang terus membuat laporan polis pada hari yang sama dia dan keluarganya diganggu.

Ayu berkata, keluarganya juga terkilan apabila baru-baru ini menerima maklumat bahawa wanita berkenaan sebenarnya sudah lama berhenti kerja daripada pusat menjual kereta itu kerana dipercayai telah menipu ramai orang.

Sementara itu, Michael berkata, pihaknya berusaha membantu mangsa dengan menghubungi sindiket ceti haram berkenaan baru-baru ini.

“Memandangkan Ayu dan ejen menjual kereta berkenaan bertudung, ceti haram berkenaan tidak menyedari penyamaran yang berlaku. Ceti berkenaan hanya menyedari perkara sebenar ketika ingin menuntut wang berkenaan di alamat sama seperti di salinan kad pengenalan.

“Saya berharap ceti berkenaan tidak menimbulkan sebarang gangguan atau mengancam keluarganya berkenaan memandangkan mereka juga adalah mangsa wanita berkenaan dan tiada kaitan dengan urusan pinjaman tersebut,” katanya.


SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...