Wednesday 11 December 2013

DALAM NEGARA: Hilang MyKad wajib lapor polis

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang kehilangan MyKad akan diwajibkan membuat laporan polis bagi mengawal peningkatan mendadak kes kecuaian melibatkan dokumen pengenalan diri itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peraturan berkenaan akan dikaji semula selepas dimansuhkan pada 20 Mac 2011 bagi mengelak kesulitan orang ramai untuk memohon semula dokumen terbabit.

Jelas beliau, melalui penetapan semula peraturan tersebut, mereka yang didapati gagal membuktikan alasan kukuh kehilangan MyKad akan dikenakan tindakan undang-undang atas keterangan palsu yang dibuat melalui laporan polis itu.



"Permohonan semula membuat kad pengenalan yang hilang akan turut dikenakan caj yang tinggi sekiranya tidak dapat dibuktikan sebab kehilangan daripada perkara yang tidak dapat dielakkan seperti kebakaran atau terlibat dalam kejadian jenayah samun, rompak, ragut dan sebagainya.

"Perkara ini akan disarankan kepada pihak Peguam Negara dan harap dapat dipersetujui bagi menyekat kes kehilangan kad pengenalan," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pada Persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, kes kehilangan MyKad dicatatkan sebanyak 1.8 juta bagi tempoh 2010 hingga Oktober tahun ini iaitu 397,079 (2010); 413,063 (2011); 429,137 (2012) dan 565,157 (2013).

statistik kehilangan MyKad tahun 2010-2013


Beliau berkata, walaupun terdapat peningkatan serius kes berkenaan, namun ia bukan satu ukuran untuk membuat tanggapan bahawa wujud kes pemerdagangan dokumen tersebut oleh pihak-pihak tertentu.

"Melalui serbuan yang dibuat ke atas syarikat kawalan keselamatan mendapati ada antara mereka menggunakan MyKad asli tetapi telah diubah suai.

"Namun, kita percaya selepas kerajaan mempertingkatkan ciri-ciri kualiti MyKad pada tahun ini dengan menggunakan cetakan turisan laser, nombor siri ciri cip yang unik dan mempunyai imej kedua atau 'ghost' imej yang jelas, tidak ada satu pun kes pemalsuan atau ubah suai dokumen berlaku selepas ciri keselamatan dipertingkatkan bermula tahun ini," katanya.


SUMBER: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...