Wednesday 18 December 2013

DALAM NEGARA: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014


Kuala Lumpur -  Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 yang memanfaatkan hampir 5.9 juta isi rumah dan dua juta individu bujang akan mula dibayar pada Februari depan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memberitahu, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua, sebaliknya boleh membuat pengemaskinian maklumat bagi memasukkan data peribadi terkini merangkumi alamat, ahli keluarga dan maklumat akaun bank.

"Bagi pemohon baharu, mereka boleh mendaftar secara dalam talian atau manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 bermula 23 Disember ini dan berakhir 31 Januari depan,'' menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.

Borang permohonan BR1M 2014 boleh didapati secara percuma mulai tarikh yang dijadualkan di pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau memuat turun melalui laman sesawang LHDN: www.hasil.gov.my

Menurut kenyataan kementerian itu lagi, kriteria program BR1M 2014 telah ditambah baik antaranya kategori isi rumah berpendapatan bulanan
RM3,000 dan ke bawah, nilai bantuan ditingkatkan daripada RM500 kepada RM650.

Sebagai tambahan, kategori bantuan juga diperluaskan kepada
isi rumah berpendapatan bulanan di antara RM3,001 dan RM4,000 sebulan dengan jumlah bantuan RM450.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan
caruman i-BR1M bernilai RM50 kepada penerima isi rumah BR1M dengan jumlah perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Warga emas yang berumur 60 tahun ke atas pula akan menerima kenaikan jumlah BR1M iaitu daripada RM500 kepada RM650.

Sementara itu, bagi kategori
bujang berumur 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000, bantuan akan ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian hotline 1-800-88-2716 dari pukul 9 hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat bermula 23 Disember ini.




SUMBER: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...