Saturday 21 December 2013

LUAR NEGARA: Pemandu bas dianggap wira


London - Seorang pemandu bas di London dianggap wira apabila mengejarkan seorang perempuan yang mahu bersalin ke hospital selepas ambulan yang dihubungi tak sampai-sampai.

Sajjad Shariff, 41, sedang memandu bas W15 di Leytonstone apabila Fatim Faye, 44, yang sarat mengandung memintanya memberhentikan bas sekitar jam 11 malam, 12 Disember lalu.

Sebaik masuk ke dalam bas, Fatim yang bernafas tercungap-cungap menyebut ‘baby’ dan ‘hospital’ berulang kali, membuatkan Sajjad segera menghubungi talian kecemasan.

Selepas 30 minit namun tiada bayang ambulan, Sajjad menghubungi talian kecemasan sekali lagi namun tetap tidak ada tanda-tanda ketibaan ambulan walaupun 40 minit selepas itu.

Akhirnya pada 12.13 pagi, Sajjad memutuskan mereka tak boleh menunggu lagi lalu dia terus mengejarkan Fatim ke Hospital Whipps Cross.

Fatim melahirkan bayi perempuan, tak sampai dua jam selepas itu.

Jurucakap Perkhidmatan Ambulan London menyatakan, berlaku kekeliruan ketika aduan diterima menyebabkan ambulan tidak dihantar meskipun selepas panggilan kecemasan diterima.

“Maklumat diberikan kepada bilik kawalan kami menyatakan pesakit mengandung sembilan minggu, bukan sembilan bulan.

“Maklumat dibetulkan ketika panggilan kedua dibuat pada 11.20 malam tetapi keadaan pesakit ketika ini pun dikategorikan sebagai tidak mengancam nyawa kerana dia masih sedar dan bernafas secara normal,” katanya.

Walaupun disusuli permhonan maaf, banyak pihak menyelar tindakan sambil lewa Perkhidmatan Ambulan London.


Hujah mereka, apabila ambulan dihubungi itu bermakna pemanggilnya sedang berada dalam situasi kecemasan tanpa mengira berapa usia kandungan sekali pun. – MyNewsHub


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...