Tuesday 15 October 2013

DALAM NEGARA: isu penggunaan kalimah Allah, 6 peguam sujud syukur, laung takbir

Putrajaya: Enam peguam mewakili pihak berkuasa agama negeri serta pertubuhan berkaitan Islam di negara ini, melakukan sujud syukur dan melaungkan takbir sebaik keputusan berhubung isu penggunaan kalimah Allah dibacakan Mahkamah Rayuan.

Di pekarangan Istana Kehakiman pula, gema takbir lebih 1,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut kedengaran sebaik keputusan itu diketahui.

Mereka turut bersyukur atas keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu.

Pemimpin dan ahli NGO berkenaan termasuk dari Yayasan Al-Quds Malaysia, PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Belia Insan Nasional (PEMBINA) serta Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA).

Hormat Islam

Perkembangan itu juga disambut penuh syukur dan dialu-alukan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang berharap penganut agama lain menghormati Islam dan keputusan dibuat Mahkamah Rayuan yang sejajar dengan akidah Islam, iaitu Allah itu satu.

“Saya mewakili DMDI mengalu-alukan keputusan mahkamah menghalang penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Katolik ini,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan bekas Ketua Menteri Melaka.

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM), berkata keputusan itu adalah penanda aras kepada umat Islam di negara ini, manakala seorang lagi peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, meminta semua pihak bersabar dan bertenang.

“Pihak gereja masih boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Jika Herald ingin merayu, mereka perlu membuat permohonan terlebih dulu dalam tempoh 30 hari selepas ini sebelum mahkamah memutuskan sama ada membenarkan rayuan atau tidak,” kata Haniff yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Tak perlu dipertikai

Pemegang Amanah Yayasan Al-Quds Malaysia, Nasharuddin Mat Isa, pula berkata keputusan itu sangat tepat dan berlandaskan prinsip Islam, sekali gus tidak perlu dipertikai atau diperbesarkan lagi oleh mana-mana pihak.

“Kalimah Allah bukan prinsip asas dalam agama mereka (Kristian), ia prinsip asas bagi Islam. Dalam al-Quran juga, menyebut perkara ini,” kata bekas Timbalan Presiden PAS itu.


Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, berkata selama ini umat Islam di Malaysia tidak pernah bermusuh dengan penganut agama lain, sebaliknya menghormati mereka dan agama yang mereka pilih.

“Bagaimanapun dalam isu ini (kalimah Allah), umat Islam tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus berjuang. Allah itu milik Islam, malah dalam Bible pun tidak menggunakan kalimah Allah. Mengapa Bible dalam bahasa Melayu perlu guna kalimah terbabit,” katanya.




SUMBER: hmetro.com.my


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...