Tuesday 29 October 2013

LUAR NEGARA: Dinosaur bersaiz besar kerana miliki sendi lembut

NEW JERSEY 27 Okt. - Satu kajian mendapati, dinosaur mempunyai saiz badan yang lebih besar berbanding mana-mana mamalia kerana haiwan purba tersebut memiliki sendi yang lembut.

Sekumpulan saintis dari Kolej Richard Stockton di New Jersey mendapati, dinosaur mempunyai lapisan rawan tambahan yang menyambungkan tulang sehingga membolehkan rangka mereka mampu menampung berat badan yang besar.

Saintis juga percaya rahsia di sebalik keupayaan dinosaur membesar bukan kerana tulang semata-mata, tetapi disebabkan oleh sendi di antara tulang.

Hasil kajian dan perbandingan yang dijalankan ke atas beberapa haiwan mamalia, reptilia dan burung dengan dinosaur mendapati, tulang mamalia menjadi semakin membulat di hujung bagi menampung berat badannya tanpa meletakkan terlalu banyak beban pada tulang.

Ketika tulang semakin melebar, rawan meregang keluar daripada lapisan nipis tulang, sekali gus membolehkan haiwan tersebut mengimbangi berat badannya.

Sementara itu, bagi reptilia yang dikatakan berasal keturunan dinosaur, tulang haiwan tersebut akan mengembang secara luas dan mendatar ketika berat badan serta saiznya semakin membesar.

Reptilia turut mempunyai rawan berlapis yang menjadikan sendi mereka lebih lembut.

Sendi yang lembut bukan sahaja dapat menampung berat badan yang lebih besar, tetapi juga mampu menanggung tekanan.

Ketua penyelidikan, Matthew Bonnan berkata, dinosaur boleh membesar bukan kerana tulang rawan semata-mata, tetapi disebabkan oleh tulangnya yang ringan dan dipenuhi udara serta memerlukan kurang sokongan berbanding tulang mamalia yang lebih kukuh.

AGENSI

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...