Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts
Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts

Sunday, 9 March 2014

KUALA LUMPUR: China dakwa jumpa serpihan pesawat

Kuala Lumpur : Beberapa serpihan pesawat dilaporkan ditemui di luar pantai Timur Barat Malaysia, namun ia masih belum dapat disahkan sebagai milik pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang.

Pegawai kanan Pentadbiran Penerbangan Awam China, Li Jiaxiang berkata, serpihan terbabit ditemui di kawasan longitud 103.29 darjah timur dan latitud 6.42 darjah utara.

“Penemuan ini bagaimanapun masih menanti pengesahan daripada pasukan mencari yang tiba di lokasi,” ujarnya di dalam satu laporan berita.

“Kita masih lagi belum pasti dengan lokasi sebenar pesawat tersebut, dan masih berharap akan keajaiban bahawa semua penumpang selamat,” kata Li seperti yang dilaporkan oleh China News.

"Ia juga masih belum jelas pada ketika ini sekiranya pesawat tersebut terlibat dalam serangan pengganas,” tambahnya.

Satu lagi laporan menyebut bahawa serpihan itu konsisten dengan satu gambar serpihan yang diambil oleh seorang penumpang yang menaiki sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines dari Beijing ke Kuala Lumpur, yang telah mendarat pada pagi Ahad.
Gambar-gambar tersebut dikatakan sebagai imej serpihan yang terapung di permukaan laut, setelah 90 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.
Semalam, pesawat Tentera Udara Vietnam mengesan dua tumpahan besar minyak di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 MAS itu dilaporkan hilang dan sehingga kini , proses mencari MH370 yang membawa 239 orang itu masih dijalankan. - AstroAwani

Wednesday, 22 January 2014

KUALA LUMPUR: Taasub bebola ‘Badang’

RAMLAN bersama anaknya

Kuala Lumpur : Akibat taasub ilmu mistik, seorang warga emas tergamak memaksa menantu lelakinya menelan 100 bebola besi yang setiap satu sebesar wang syiling lima sen kononnya supaya diri gagah dan hebat dalam seni mempertahankan diri.

Menantu itu yang mahu dikenali sebagai Ramlan, 28, berkata, mentuanya mendakwa mempunyai kekuatan luar biasa selepas menelan 100 bebola besi beberapa tahun lalu.



Berikutan itu, katanya, ayah mentuanya yang berusia 60-an memaksanya berbuat demikian supaya kerja mereka sebagai penyelia keselamatan di tapak pembinaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Ayah mahu saya mengikuti upacara ‘telan besi’ dikendalikan seorang bomoh warga Indonesia di Gombak, tapi saya tak mahu terbabit dengan ilmu karut itu.

“Akibatnya, saya dibuang kerja dan saya nekad membawa isteri serta anak keluar dari rumah mentua. Tapi, ayah semakin marah dan kini sering mengganggu kami,” katanya. metro

Sunday, 19 January 2014

KUALA LUMPUR: 30,000 tan sampah setiap hari


Kuala Lumpur : Penduduk di negara ini dianggar membuang sehingga 33,000 tan metrik sampah setiap hari, menjurus kepada RM1.2 bilion dibelanjakan untuk kerja pengutipan sampah tahun lepas.
  
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique berkata angka itu pada asalnya menjadi jangkaan bagi 2020, namun ia berlaku tujuh tahun lebih awal.
  
Katanya, di bandar besar seperti Kuala Lumpur, purata jumlah sampah yang dibuang seorang individu ialah 1.25 kilogram (kg) sehari tahun lepas.
  
Bagi purata keseluruhan penduduk pula, 0.8kg sampah dihasilkan seorang individu sehari.
  
"Sekarang ini memang kritikal sebab setiap individu secara purata hanya boleh membuang sekitar 0.8kg sampah sahaja, tidak boleh lebih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen 'Anti-Litter' Kenderaan di sini hari ini.

Halimah berkata jumlah sampah yang semakin meningkat akan memberi kesan kepada kos menguruskan sisa pepejal berikutan kawasan pelupusan sampah yang semakin terhad sedangkan sisa bahan buangan semakin banyak.
  
Beliau menarik perhatian bahawa amalan pengurusan sampah oleh penduduk juga rendah apabila hanya 10 peratus sampah dikitar semula.
  
"Pada 2020, kita menjangkakan sampah kitar semula akan meningkat kepada 22 peratus," katanya.
  
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan tidak bercadang mengenakan sebarang denda atau penguatkuasaan lebih ketat seperti negara lain kepada individu yang membuang sampah merata-rata.
  
"Memberi kesedaran terhadap amalan betul dalam menguruskan sampah dan gaya hidup harian yang mengutamakan kebersihan adalah lebih penting," katanya.
  
Kempen kebersihan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam itu diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya tidak membuang sampah merata-rata dari kenderaan mereka.

Program secara berterusan itu akan diperluaskan ke negeri lain dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan. – Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...